"Bbdah"

Kadang-kadang mengena, kadang-kadang tidak…

GEJALA SOSIAL DI KALANGAN MAHASISWA IPT

Posted by suhardi on 15 February 2008

Islam telah mensyariatkan bahawa lelaki dan wanita wajib diasingkan bermula dari umur sepuluh tahun lagi, lelaki dan wanita yang bersaudara pula perlu dipisahkan dari tempat tidur mereka. Manakala bagi lelaki dan wanita yang bukan bersaudara pula perlu ditegah dari bergaul setelah mereka mencapai akil baligh. 

Mengapa Islam mensyariatkan sedemikian rupa? Apakah rahsia disebaliknya? Sesungguhnya setiap apa yang Allah S.W.T syariatkan kepada umat manusia bukanlah suatu yang sia-sia bahkan disebaliknya penuh dengan pelbagai hikmah dan kebaikan yang tidak dapat diketahui melainkan dengan penafsiran serta penelitian yang tinggi. Pelbagai perkara buruk boleh berlaku seandainya kita tidak menjaga batasan di dalam pergaulan di antara lelaki dan wanita ini antaranya ia akan mengakibatkan pelbagai masalah sosial sebagaimana yang ada disebut di atas bermula dengan zina, kemudian membawa kepada hamil sebelum nikah dan akhirnya timbullah kes pembuangan bayi yang tidak berdosa.

 Apa yang menyedihkan ialah masalah sebegini sebenarnya telah tersebar di kalangan para remaja serta muda-mudi di negara ini. Lebih mengejutkan lagi ianya turut melanda mahasiswa dan mahasiswi di IPT yang mana mereka ini adalah dikategorikan sebagai intelektual yang merupakan pelapis negara yang bakal menerajui kepimpinan sekaligus diharapkan dapat membangunkan dan memajukan negara ini pada suatu masa akan datang. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dilihat menjadi penyumbang kepada masalah kebejatan akhlak dalam masyarakat Malaysia kini khususnya di kalangan mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 

Masalah sosial merupakan gejala abnormal atau tingkah laku yang tidak bermoral dan bersifat merosakkan. Ini bermaksud semua aktiviti yang membawa kepada keruntuhan akhlak perlu dihindari kerana boleh merosakkan peribadi dan nilai-nilai baik dalam diri seseorang individu. Dalam konteks kehidupan mahasiswa, antara masalah yang begitu ketara dihadapi oleh mereka ialah kegagalan menguruskan perasaan dan emosi dengan betul dan berkesan. Inilah yang membawa kepada tindakan-tindakan seperti keinginan berdua-duaan tanpa had waktu, menghabiskan masa dengan berbual di telefon, internet atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (sms), keluar bersama sehingga lewat malam malah ada yang pergi ke disko atau pub-pub. Perlakuan di atas sebenarnya adalah bibit-bibit permulaan yang boleh membawa kepada perlakuan yang lebih sumbang dan tidak bermoral. 

 Terdapat mahasiswa universiti atau kolej yang terlibat dalam perbuatan zina, kehamilan luar nikah, seterusnya pengguguran bayi sehingga menjejaskan pelajaran yang sepatutnya diutamakan. Malangnya ada antara mahasiswa yang terlibat dalam gejala tidak bermoral ini terdiri dari pelajar pintar yang menjadi harapan semua pihak terutama ibu bapa dan keluarga. Perbuatan yang dilakukan tidak hanya mencemar maruah diri tetapi turut mencemarkan nama ibu bapa di mata masyarakat. Insiden yang berlaku ini sedikit sebanyak memperlihatkan bahawa mereka masih tidak mempunyai prinsip yang teguh dan benteng diri yang kukuh untuk berdepan dengan cabaran dunia remaja.

  Sebagai contoh, menurut laporan akhbar tempatan pada 1 Febuari 2008, 800 pelajar wanita universiti ‘dikuarantin’ bagi disoal siasat ekoran penemuan mayat seorang bayi di tempat pembakaran sampah di kawasan asrama mereka. Bukan itu saja, masyarakat juga didedahkan dengan berita pelajar IPT ditangkap berkhalwat sama ada sesama pelajar atau dengan orang lain. Tidak kurang juga pelajar IPT yang berpeleseran di disko atau kelab malam setiap hujung minggu.  Beberapa perkara dilihat sebagai faktor yang menyumbang ke arah keruntuhan akhlak dan moral mahasiswa. Antaranya, ramai di antara mereka yang terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang berpasangan. Keseronokan rakan-rakan membangkitkan keinginan ingin mengalami situasi yang sama. Keadaan ini mendatangkan kebimbangan kepada mereka jika mereka tidak mempunyai teman hingga di tahun akhir pengajian.  Menurut pandangan Arnida Abu Bakar, 31 Tahun, pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, gejala sosial ini boleh di kategorikan kepada pelajar-pelajar yang tidak datang ke kelas, ponteng, merokok, suka melepak serta tidak melaksanakan kerja yang di suruh oleh pensyarah.“Merokok boleh menyumbang kepada masalah gejala sosial yang lain, kerana dengan merokok para pelajar secara tidak sedari akan terlibat dengan rakan-rakan yang rosak akhlaknya sekiranya para mahasiswa itu tidak tahu untuk menjaga diri mereka,” ujurnya.           

 Menurut Ahmad Hilmi, 23 Tahun, pelajar Kaunseling tahun Tiga, gejala ini semakin meruncing, mereka seperti tidak mempunyai pelajaran dan tidak nampak seperti mahasiswa. Pengaruh rakan-rakan, ‘culture shock’, dan tiada pemerhatian dari ibu bapa menyebabkan gejala ini berlaku.            

 “Kebanyakan mereka yang terlibat dalam gejala ini adalah kerana terpengaruh dengan pengaruh rakan-rakan mereka. Selain daripada itu, ‘culture shock’ juga memyebabkan gejala ini berlaku. Gejala ‘culture shock’ ini terjadi apabila mahasiswa yang berasal dari kampung jauh di pendalaman dan seterusnya berada jauh dari ibu bapa, mudah terhasut dengan kawan-kawan dari Bandar. “Apabila mereka semua berada jauh dari ibu bapa, mereka yang tidak mempunyai asas iman yang kuat selalunya mudah terlibat dalam gejala ini. Ingin mencuba sesuatu yang baru dan merasakan sesuatu yang baru itu menyeronokkan seterusnya akan terus melakukan perkara tersebut juga menyebabkan mereka ini terlibat dalam gejala sosial ini,” ujurnya. 

“Dalam konteks kaunseling, kami hanya dapat membentuk dan membimbing serta memberi jalan kepada mereka kerana kaunseling tidak boleh memaksa mereka berubah, hanya diri mereka sendiri yang dapat merubah diri mereka,”ujurnya lagi.

  Bagi Muhammad Alif Ismail, 23 Tahun, yang merupakan NYDP MPP USIM, pada pendapat beliau, ketiadaan intergriti dalam diri, iaitu bertindak secara sonsang dalam segala peraturan yang telah ditetapkan.

 “Peraturan itu bukannya untuk menyekat kehidupan, tetapi untuk melahirkan keterampilan mereka. Walau sekecil mana pun undang-undang itu, tetapi jika kita menghayatinya, Insyaallah gejala ini dapat dikurangkan. Ini kerana undang-undang sebenarnya melibatkan jiwa dan nilai dalam diri mereka. 

Pendedahan luar juga menjadi faktor timbulnya gejala ini. Kedatangan para pelancong dari luar negara dengan membawa budaya mereka akan menyebabkan ada dikalangan mahasiswa terikut dengan budaya mereka. Ini kerana dengan adanya nilai yang berinteraksi dengan tindakan yang berterusan akan menyebabkan tabiat. “Pengetahuan dan penghayatan agama yang kurang juga dilihat menjadi salah satu faktor utama berkembangnya masalah sosial di kalangan mahasiswa. Jika ajaran-ajaran agama tidak dihayati dan dipraktikkan terutama dalam soal pergaulan, pasti mereka tidak mempunyai kekuatan untuk berdepan dengan apa jua cabaran khususnya yang berkaitan dengan nafsu, emosi, perasaan dan hati,” tegas beliau lagi. 

 Agama Islam meletakkan beberapa prinsip, panduan, larangan dan batasan tertentu dalam soal pergaulan membabitkan lelaki dan wanita bukan mahram. Kegagalan mempraktikkannya serta sikap tidak mengendahkan ajaran agama menyebabkan ramai yang terlanjur melakukan maksiat dan dosa. Mengenai pengetahuan dan penghayatan agama ini, Arnida Abu Bakar menegaskan bahawa, seharusnya perkara ini adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa untuk mengajarkan anak-anak dengan pendidikan agama yang secukupnya bermula sejak mereka masih kecil lagi.

Memberikan pendidikan agama sejak kecil dengan secukupnya akan memberikan kesan yang amat mendalam.  “Anak-anak akan kenal tentang asal-usul akidah dan prinsip tauhid dan iman dengan baik seterusnya membuka mata anak-anak tentang pentingnya ketaatan kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya dengan mengerjakan perintah-perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.  “Dengan itu, anak-anak akan faham tentang hukum-hakam yang terdapat dalam Islam serta mereka dapat membiasakan diri mereka dengannya sejak kecil lagi. “Anak-anak akan dapat mengenal hukum-hukum ibadah beserta kepentingannya dan membiasakan diri untuk menunaikannya sejak kecil lagi dan supaya mereka membesar dalam ketaatan kepada Allah S.W.T, menunaikan hak-Nya, mensyukuri segala nikmat-Nya, berlindung diri kepada-Nya, yakin kepada takdir-Nya serta berserah diri kepada Allah S.W.T dalam apa jua keadaan,” tegasnya lagi. 

Media Massa juga turut mempengaruhi gaya hidup mahasiswa kini. Bermacam-macam program hiburan telah disiarkan dan telah menjadi program tetap dalam satu-satu syarikat televisyen tersebut. Antara yang popular kini ialah program “realiti tv” yang memaparkan kehidupan seharian individu yang sedang dalam proses untuk menjadi artis, dengan percampuran antara lelaki dan wanita di dalam satu tempat tinggal serta menjalani pelbagai latihan kesenian bersama-sama. Ini semua mampu mempengaruhi golongan remaja terutamanya mahasiswa dalam menjalani kehidupan mereka sehari-hari.

Mereka akan mudah terikut-ikut dengan gaya hidup yang dipamerkan.  Banyak budaya dari Barat telah berjaya menyelinap masuk melalui media massa. Selain daripada rancangan berbentuk “realiti TV”, sejak dahulu lagi telah banyak siaran-siaran televisyen yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat Malaysia telah disiarkan. Adegan berpelukan, berciuman dan pendedahan aurat sememangnya telah menjadi menu khas setiap rancangan televisyen. Apabila siaran-siaran sebegini ditonton oleh anak-anak yang meningkat remaja maka ia boleh menyebabkan mereka banyak berkhayal dan timbul rasa ingin tahu yang sangat tinggi. Inilah yang menyebakan muda-mudi semakin berani untuk mencuba melakukan perkara-perkara terkutuk tanpa segan silu apatah lagi memikirkan kemurkaan Allah S.W.T yang menanti mereka. 

 Semua yang telah diperkatakan tadi adalah merupakan faktor luaran yang sedikit sebanyak menjadi punca keruntuhan moral dikalangan mahasiswa. Namun begitu, dengan pengamalan dasar percampuran jantina di kolej-kolej kediaman atau penginapan mahasiswa di pusat pengajian tinggi juga dilihat sebagai faktor yang menyokong perkembangan masalah sosial di kalangan mahasiswa. Apabila tinggal di tempat yang sama, ini memudahkan mereka bersama ke sana ke mari tidak kira siang atau malam. Senario di kampus memaparkan bagaimana mahasiswa masih boleh membonceng motosikal pasangan masing-masing dan keluar bersama walaupun sudah lewat malam dan meniti waktu pagi. 

Bagi Lukman Nurhakim, 23 tahun, pelajar FPBU tahun 2, setiap individu yang bergelar mahasiswa tidak kira apa jua agama yang dianuti perlu ada kesedaran agama sebagai suatu tembok pendinding daripada terjebak dalam gejala sosial. “Ini dapat dilakukan dengan menghampirkan diri dengan Tuhan dengan melakukan pelbagai amalan kerohanian. “Bagi mereka yang beragama Islam, kekuatan rohani bukan sahaja dilihat sebagai pendinding daripada melakukan maksiat tetapi juga sebagai suatu ikatan yang kukuh di antara hamba dengan pencipta-Nya dalam menggapai redha-Nya serta kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat kelak,” ujurnya. Akal juga perlu digunakan dengan sebaik mungkin dalam memastikan segala tindak-tanduk yang ingin dilakukan itu tidak bertentangan dengan agama dan norma-norma masyarakat. Berfikir dahulu sebelum bertindak adalah lebih utama daripada melakukan sesuatu dengan tanpa berfikir. Dalam Islam, akal yang dipandu oleh iman adalah kombinasi yang mantap dalam mengawal nafsu yang selalu mendorong ke arah kerosakan. Justeru, kekuatan rohani sebagaimana yang disebutkan di atas serta kebijaksanaan akal fikiran adalah penting bagi setiap individu dalam mengawal tingkah-laku agar tidak terjerumus ke lembah kehinaan.Setiap individu mahasiswa disarankan agar melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti atau program-program yang berfaedah bagi membina sahsiah diri yang mulia. Ini kerana, pembentukan sahsiah yang mulia tidak akan dapat diperolehi di dalam dewan atau bilik kuliah. Justeru, ia hanya boleh diperolehi apabila melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti atau program-program yang dianjurkan oleh kelab dan persatuan atau pihak universiti sendiri.Selain itu, dalam membendung gejala sosial di kalangan mahasiswa ini, setiap individu mahasiswa perlulah bersama-sama nasihat-menasihati, ingat-memperingati di antara satu sama lain terutamanya kepada rakan-rakan yang dilihat bermasalah.

Dekati mereka dan bimbinglah mereka yang bermasalah agar mereka ini tidak terus dilalaikan dengan maksiat. Dengan itu, gejala sosial di kalangan mahasiswa dapat ditangani dengan lebih efektif.Pihak universiti terutamanya bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), perlulah memainkan peranan yang sewajarnya dalam menangani gejala sosial di kalangan mahasiswa. Justeru, dasar pengasingan penginapan mengikut jantina diharapkan dapat dilaksanakan secara menyeluruh untuk setiap kolej kediaman mahasiswa oleh pihak universiti. Inilah langkah asas yang dilihat paling praktikal dalam menangani gejala sosial di kalangan mahasiswa selain penguatkuasaan peraturan tatatertib universiti terhadap pelajar.Selain itu, pihak universiti perlulah menguatkuasakan peraturan tatatertib ke atas mahasiswa dengan konsisten dan mengenakan tindakan tatatertib yang lebih berat bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

Nama serta tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas mahasiswa yang bersalah perlulah dipaparkan kepada seluruh warga kampus sebagai satu pengajaran dan amaran kepada warga kampus supaya apa yang telah berlaku tidak akan berulang kembali. Pihak universiti juga seharusnya memberikan kuasa serta meminta kerjasama daripada pengawal keselamatan untuk menahan atau mengenakan tindakan kepada mana-mana mahasiswa menunggang motosikal yang dilihat membonceng pasangan mereka kecuali yang telah bernikah di sekitar kawasan kampus. Tidak ketinggalan juga mahasiswa yang menaiki kereta berdua-duaan dengan pasangan mereka.

Ini kerana, budaya sedemikian telah menjadi suatu kebiasaan di kalangan mahasiswa dan ia tidak lagi dilihat sebagai satu kesalahan dari sudut agama apatah lagi dari sudut budaya masyarakat Memperbanyakkan program-program yang membina sahsiah mahasiswa juga merupakan langkah yang baik dalam menanam akhlak yang mulia di dalam diri setiap mahasiswa. Program-program seperti seminar, kolokium, kem motivasi, kem kecemerlangan mahasiswa dan sebagainya dilihat amat berguna bagi mahasiswa. Namun, pihak universiti perlulah menapis sebarang program yang ingin dianjurkan oleh mana-mana pihak yang dilihat tidak memberikan manfaat khususnya terhadap pembangunan sahsiah mahasiswa terutama yang berbentuk hiburan. Berhibur tidak salah asalkan cara dan salurannya bersesuaian dari sudut agama dan budaya masyarakat Malaysia. Justeru, perkara ini juga perlu diambil perhatian oleh pihak universiti. 

            Institusi keluarga juga amat penting, kerana pada hari ini ramai ibu bapa tidak mempunyai masa yang cukup dengan anak-anak, akibat terlalu sibuk bekerja Sebagaimana yang sepatutnya, pendidikan anak-anak adalah bermula sejak kecil lagi. Tanggungjawab ini terletak di bahu ibu bapa. Ini kerana,rata-rata di kalangan ibu bapa ada yang tidak ambil kisah dengan didikan anak-anak pada waktu mereka kecil. Mereka terlalu memanjakan anak-anak dan akhirnya terlupa memberikan didikan yang sempurna dan sepatutnya kepada anak-anak terutamanya didikan agama. Justeru, didikan yang sempurna sejak kecil adalah amat penting dalam membina akhlak anak-anak kerana anak-anak adalah diibaratkan seperti kain putih yang suci dan ibu bapalah yang mencorakkan mereka sama ada dengan corak yang cantik atau sebaliknya.

 Walaupun telah memberikan didikan yang sempurna sejak kecil, ibu bapa hendaklah sentiasa menjaga serta membina hubungan yang baik dengan anak-anak sampai ke akhir hayat. Dengan demikian, anak-anak akan merasakan mereka dihargai dan disayangi hatta mereka telah dewasa. Justeru, pastinya mereka tidak akan tergamak untuk melakukan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan maruah ibu bapa mereka. Ini boleh dilakukan dengan mengambil tahu tentang segala aktiviti anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan. Bukan bertujuan untuk mengongkong sebaliknya sebagai tanda kasih sayang dan prihatin ibu bapa terhadap anak-anak kerana khuatir mereka akan tersalah langkah.    

 Usaha kerajaan mendidik mahasiswa yang mampu berdaya saing perlulah dilaksanakan segera. Ini akan memberi ruang yang lebih luas kepada mahasiswa untuk terbabit dengan aktiviti belia dan tidak tertumpu dalam alam kampus saja. Langkah ini dilihat sebagai satu pelaburan dalam pembinaan modal insan. Pelaksanaan ini akan memberi faedah kepada negara dalam menyediakan masyarakat khususnya mahasiswa yang bukan saja berpengetahuan dan berkemahiran malah mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.  Menurut Fauziah, 21 tahun, Pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, usaha ini mampu menyuntik nilai tambah kepada pelajar dalam konteks kepemimpinan. “Secara tidak langsung ini dapat menanam minat mahasiswa berpersatuan dan mengubah persepsi mereka agar tidak hanya menumpukan pencapaian akademik. “Pembabitan mahasiswa dalam pertubuhan belia memberi banyak kesan positif kepada masyarakat dan negara kerana ia dapat melahirkan generasi berwawasan dan berketrampilan tinggi, sekali gus memupuk nilai jati diri dan budi pekerti yang mulia,” ujurnya ringkas.

Peranan semua pihak sememangnya diperlukan dalam mengurangkan seterusnya membendung gejala yang tidak sihat ini dari terus merebak ke dalam saraf-saraf sosial mahasiswa pada masa akan datang.

10 Responses to “GEJALA SOSIAL DI KALANGAN MAHASISWA IPT”

  1. sahara said

    IMAN paling UTAMA.. Hilang Iman, hilang segalanya..
    pendek kata, hati masing2. panjang kata, ikut hati mati, ikut rasa binasa. ikut laa kata IMAN.

  2. izanrumaisya said

    assalamualaikum…
    bagus feature ni…skrg-krgnya edy ketengahkn ttg permslhn yg melanda keatas student IPT, dpt jga kwn2 kta wt pengajarn…

  3. assalamualaikum…saya suka sgt ttg feature ni…semoga mjd pengajaran utk kita semua khususnya pelajar ipt di seluruh negara..

  4. khausyar said

    urm..sguh bgus isu yg dketengahkn ini.hrp feature ini dpt mnyedarkan remaja mase kini..

  5. ashraf yusoff said

    nice essay..borrow!!

  6. jue said

    ya memang benar sekarang gejala sosial yang semakin meningkat di kalangan pelajar ipts sukar dibendung….contohnya ada di kolej saya sendiri kalau anda melihatnya jangan terkejut melihat pergaulan yang mereka jalani…

  7. remaja zaman sekarang terlalu ikutkan nafsu dan sering melakukan maksiat tanpa segan silu di khalayak ramai

  8. cik payung said

    salam..minta izin nk copy artikel nie….

  9. suhardi said

    sila2

  10. dg said

    salam,smoga shbt2 yg brglr mahasswa x trmasuk org2 yg lalai..nice essay.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: