"Bbdah"

Kadang-kadang mengena, kadang-kadang tidak…

Eco-Pack mesra alam

Posted by suhardi on 20 February 2008

Jika sudah timbul hasrat untuk mengubah kesejahteraan kampus, ia seharusnya dimulakan secara berperingkat agar kejayaan jangka panjang dapat dicapai.
Itulah kaedah yang digunakan oleh Koordinator Kampus Sejahtera Universiti Sains Malaysia. Apakah kaedah itu dan bagaimana ia bermula? Ikuti laporan NIZHA PERIASWAMY bersama jurugambar ZHAFARAN NASIB mengenai langkah USM memperkenalkan penggunaan eko-pek

SAMBIL menunggu di luar bilik Profesor Madya Lee Lik Meng di pejabatnya di bangunan Kampus Sejahtera, Universiti Sains Malaysia (USM), saya dapat memerhatikan beberapa usaha yang telah dilakukan untuk mengubah persekitaran kampus agar lebih mesra terhadap alam sekitar.

Kelihatan papan kenyataan dipenuhi dengan pelbagai maklumat, antaranya The White Coffin yang akan menjadi intipati pertemuan kami pada hari tersebut. Berbunyi seram, perkataan coffin atau keranda seolah-olah memberi amaran. Dan kebenarannya, keranda putih yang dimaksudkan itu ialah bekas makanan polistirena yang sangat popular untuk membungkus makanan.

Sebaik sahaja pelajar yang memenuhi bilik Lik Meng bersurai, sesi pertemuan saya dengan beliau berjalan lancar dan penuh berinformasi tanpa sebarang gangguan. Malah kesanggupan beliau berkongsi maklumat berulang kali untuk memahamkan saya tentang program kampus mesra alam di USM amat dihargai.

Tanpa melengahkan masa, Lik Meng terus menyentuh topik perbualan mengenai penggunaan bekas boleh lupus ‘eko-pek’ (Eco-Pack).

Pada masa sekarang, sebanyak 7,000 bekas makanan seperti plastik, polistirena dan kertas perang digunakan pada setiap hari.

Daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 adalah bekas polistirena yang penggunaannya boleh menjejaskan kesihatan dalam jangka panjang,” katanya.

Katanya lagi, sungguhpun kertas perang boleh digunakan, tetapi kerana ia mempunyai elemen plastik, ia juga kurang baik.

Selain elemen kesihatan, katanya, kertas pembungkus itu juga meningkatkan jumlah sampah.

“Ini menyebabkan lebih 1.5 juta tan sampah dikumpul hanya di kampus utama,” katanya.

Dengan niat untuk menggunakan bekas yang boleh lupus secara biodegradasi sekali gus tidak menambahkan timbunan sampah, pihak USM mengambil langkah memperkenalkan eko-pek.

“Tujuan utamanya ialah sebab kesihatan kerana polistirena mempunyai kandungan carcinogen yang boleh mengakibatkan kanser.

Kedua, kerana sampah semakin banyak dari segi volume dan ini menambahkan kebimbangan untuk alam sekitar,” tambah beliau.

Hasilnya, program ini berjaya menggalakkan pelajar makan di kantin atau membawa bekas sendiri untuk membungkus makanan. Ia sekali gus mengurangkan sampah.

Namun, bagi keadaan di mana pelajar atau kakitangan kampus masih memerlukan bekas makanan, pihak USM di bawah program kampus sejahtera tampil memperkenalkan eko-pek.

Pembungkus ini dihasilkan sepenuhnya di Malaysia menggunakan bahan buangan kelapa sawit.

“Kami mempunyai kelulusan daripada SIRIM, badan penguasa dari Jepun dan Amerika Syarikat. Jadi, ini menyakinkan kami untuk menggunakannya. Setakat ini, kajian yang dijalankan oleh pihak USM sendiri mendapati tiada apa-apa kesan negatif yang ditunjukkan,” jelas Lik Meng.

Eko-pek menggunakan bahan semula jadi 100 peratus, tidak menggunakan lapisan plastik (laminated), tidak menggunakan gam dan boleh dikomposit secara semula jadi sepenuhnya.

Ditanya bagaimana beliau mendapat tahu mengenai eko-pek, Lik Meng berkata, semasa sambutan majlis konvokesyen di USM pada tahun 2005, sekumpulan pelajar membuat kempen menggalakkan penggunaan eko-pek dengan menggantikan bekas polistirena demi kesihatan dan alam sekitar.

“Bermula dari situ, saya mengkaji lebih lanjut tentang bekas ini,” ujarnya.



 

Percubaan untuk menghentikan penggunaan polistirena pernah dilakukan beberapa kali oleh pihaknya tetapi ia tidak berjaya. Ini katanya mungkin disebabkan masa.

“Misalnya, sekarang kita mempunyai pelajar yang lebih menyedari dan peka terhadap kepentingan alam sekitar, pemimpin pelajar yang berkaliber dan yang memberi sokongan,” katanya.

Lagipun katanya, ketika itu tiada pembungkus pengganti seperti eko-pek.

Biarpun begitu, beliau memberitahu masih ada golongan pelajar yang kurang bersetuju dan enggan membayar caj bekas tersebut sebanyak RM0.20. Pihak USM terpaksa mengenakan sedikit caj kerana harga bekas itu yang tinggi.

Langkah itu juga diharap akan menggalakkan pelajar menggunakan bekas makanan sendiri atau makan di kantin.

“Ini akhirnya kembali kepada tujuan asal kita iaitu mengurangkan sampah dan tidak menggunakan bekas yang memudaratkan kesihatan,” tambahnya.

Menjawab soalan penggunaan polistirena atau plastik, beliau berkata, pihaknya memang telah mengharamkan penggunaan bahan bungkus itu tetapi tidak menafikan ia masih berleluasa kerana permintaan pembeli.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kami tidak berhasrat untuk menghukum mereka tetapi mereka harus sedar dengan sendirinya,” ujarnya.

Kempen yang dimulakan pada Januari lalu dijalankan secara besar-besaran melalui menandatangani kad ‘Keranda Putih’ iaitu perjanjian untuk tidak menggunakan polistirena. Kad itu adalah sebahagian daripada kempen kampus sejahtera untuk menyedarkan penghuni kampus tentang bahaya penggunaan polistirena.

Walaupun langkah yang diambil oleh pihak Kampus Sejahtera USM adalah untuk kebaikan semua, tetapi mereka juga tidak terlepas daripada aduan. Beliau mengakui banyak menerima aduan.

“Apa yang perlu diubah ialah tabiat makan. Kita suka ‘kari banjir’ tetapi selepas tiga jam, bekas eko-pek menyerap kari, itu aduan yang biasa diterima.”

“Jadi, nasihat saya ialah kita kena ubah tabiat ‘kari banjir’ yang tidak baik untuk kesihatan. Begitu juga amalan menyimpan makanan untuk tempoh yang lama. Ini juga memudaratkan kesihatan,” katanya sambil menambah tabiat itu boleh menyebabkan pembiakan bakteria, kecuali disimpan di dalam peti sejuk.

Menguji sendiri kemampuan eko-pek dan aduan pelajar, Lik Meng membeli nasi dengan amaun kari yang sepatutnya dan beliau berkata, tidak berdepan dengan sebarang masalah.

“Ia hanya menyerap jika kandungan minyak berlebihan,” katanya.

Lik Meng turut menekankan biarpun pembungkus eko-pek diperkenalkan, kempen ‘kitar semula’ bukanlah fokus utama.

Ini kerana keutamaan program Kampus Sejahtera ialah untuk mengurangkan sampah dan jika ada sekalipun, ia adalah sampah kompas agar boleh digunakan semula sebagai baja tumbuhan.

Selain inisiatif yang diberikan dalam pembungkusan makanan, Lik Meng berkata, mereka ingin meluaskan fokus kepada aspek kesihatan, gaya hidup dan alam sekitar.

“Kami juga menggalakkan pihak kantin mengamalkan kaedah penyediaan makanan yang betul dan sihat. Jadi, kami mahu kantin menggunakan material organik tetapi kajian mengenainya masih dijalankan,” katanya.

Membeli daripada sebuah syarikat dengan harga yang agak mahal, Lik Meng berkata, beliau tidak mempunyai alternatif kerana setakat ini, tiada syarikat lain mahu menceburi perniagaan ini kerana penghasilan eko-pek melibatkan proses yang agak rumit.

“Saya yakin dengan eko-pek ini kerana ia sama dengan eko-pek yang digunakan di kafe Wal-Mart Amerika Syarikat dan beberapa syarikat multinasional lain di luar dan dalam negara,” ujarnya.

3 Responses to “Eco-Pack mesra alam”

  1. STRAWCERRY said

    nak tau tntg langkah2 pencemaran bunyi

  2. louis said

    v ko kawe nama plastik hok buleh kitar semula serto caro2 plastik tuh di buat dgn gano dio lupus,,,harap tuh

  3. shamriza bt shamsuri said

    salam..sy shamriza, pelajar tahun akhir UPSI, saya ingin mendapatkan maklumat lanjut brkaitan eco-pack dan syarikat pengeluar eco-pack. Saya ingin membuat kajian lanjut berkaitan dengan eco-pack untuk di perkenalkan di UPSI. Saya berharap, saudara/i boleh mengirimkan maklumat tersebut melalui email saya..kerjasama dari saudara/i saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: