"Bbdah"

Kadang-kadang mengena, kadang-kadang tidak…

NOVEL / CERPEN

PINGGAN UNTUK AYAH…..

( Di adaptasi dari….)

Seorang lelaki tua yang baru kematian isteri tinggal bersama anaknya, Arwan dan menantu perempuannya, Rina, serta anak pasangan itu, Viva yang baru berusia enam tahun. Keadaan lelaki tua itu agak uzur, jari-jemarinya sentiasa menggeletar dan pandangan pula semakin hari semakin kabur.
Malam pertama berpindah ke rumah anaknya, mereka makan malam bersama. Lelaki tua merasa kurang selesa menikmati hidangan di meja makan. Dia merasa amat canggung menggunakan sudu dan garpu. Selama ini dia gemar bersila, tapi di rumah anaknya dia tiada pilihan. Cukup sukar dirasakannya, sehingga makanan bersepah tanpa dapat dikawal. Bukan dia tidak merasa malu berkeadaan begitu di depan anak menantu, tetapi dia gagal menahannya. Lantaran kerap benar dijeling menantu, seleranya patah. Dan tatkala dia mencapai gelas minuman, pegangannya terlucut.

Prannnnngggggg … !! Bertaburan kaca di lantai. Lelaki tua serba salah. Dia bangun,cuba mengutip serpihan gelas itu, tapi Arwan melarangnya. Rina masam mencuka. Viva pula kasihan melihat datuknya, tapi dia hanya melihat, kemudian makan semula.
“Esok ayah tak boleh makan bersama kita,” Viva mendengar ibunya berkata pada ayah, sebaik datuk menghilangkan diri ke dalam bilik.

Arwan hanya membisu. Namun sempat anak kecil itu merenung tajam ke dalam mata Arwan. Sebagai memenuhi tuntutan Rina, Arwan membeli sebuah meja kecil yang rendah, lalu diletakkan di suatu sudut bilik makan. Di situlah ayahnya menikmati hidangan bersendirian, sambil anak menantu makan di meja berhampiran. Viva pula dihalang apabila dia merengek mahu makan bersama datuknya.

Air mata lelaki tua meleleh mengenang nasibnya diperlakukan begitu. Ketika itu dia teringat kampung halaman yang ditinggalkan. Dia terkenang arwah isterinya. Lalu perlahan-lahan dia berbisik:”Miah… buruk benar layanan anak kita pada abang.”

Sejak itu, lelaki tua merasa tidak selesa tinggal di situ. Hari-hari dia diherdik kerana menumpahkan sisa makanan. Dia diperlakukan seperti hamba. Pernah dia terfikir untuk lari dari situ, tetapi mengenangkan cucunya, dia menahan diri. Dia tidak mahu melukakan hati cucunya. Biarlah dia menahan diri dikelar dan dicalar anak menantu. Suatu malam, Viva terperanjat melihat datuknya makan menggunakan pinggan kayu, begitu juga gelas minuman yang diperbuat daripada buluh. Dia cuba mengingat-ingat, di manakah dia pernah melihat pinggan seperti itu.

“Oh! Ya…” bisiknya.Viva teringat, semasa berkunjung ke rumah sahabat papanya dia melihat tuan rumah itu memberi makan kucing-kucing mereka menggunakan pinggan yang sama.

“Taklah pecah lagi, kalau tak, nanti habis pinggan mangkuk mama,” kata Rina apabila anaknya bertanya.

Masa terus berlalu. Walaupun makanan berselerak setiap kali waktu makan, tiada lagi pinggan atau gelas yang pecah. Apabila Viva merenung datuknya yang sedang menyuap makanan, kedua-duanya hanya berbalas senyum. Seminggu kemudian, sewaktu pulang dari bekerja, Arwan dan Rina terperanjat melihat anak mereka sedang bermain dengan kepingan-kepingan kayu. Viva seperti sedang membuat sesuatu. Ada penukul, gergaji dan pisau di sisinya.

“Eh, apa sayang buat ni? Berbahaya main benda-benda ni,” kata Arwan menegur manja anaknya. Dia sedikit hairan bagaimana anaknya dapat mengeluarkan peralatan itu, sedang ia disimpan di dalam stor.

“Nak buat pinggan, mangkuk dan gelas untuk ayah dan emak. Bila Viva besar nanti, taklah susah cari. kasihan ayah, terpaksa ke bandar beli pinggan atuk,” kata Viva.
Gamam mendengar jawapan anaknya, Arwan terkedu. Perasaan Rina terusik. Kelopak mata kedua-duanya bergenang. Jawapan Viva menusuk, seluruh tangkai jantung dirasa seperti dihiris sembilu. Mereka benar-benar rasa bersalah! Malam itu Arwan memimpin tangan ayahnya ke meja makan. Rina menyenduk nasi dan menuang minuman ke dalam gelas. Nasi yang tumpah tidak dihiraukan. Viva beberapa kali memandang ibunya, kemudian ayah dan akhir sekali wajah datuknya. Dia tidak bertanya, cuma tersenyum selalu bagi menyatakan rasa seronok duduk bersebelahan datuknya di meja makan. Lelaki tua itu juga tidak tahu Kenapa anak menantunya tiba-tiba berubah.

“Esok Viva buang pinggan kayu tu ya, nak buat apa?” kata Viva pada ayahnya selepas makan.

Arwan hanya mengangguk, tetapi dadanya terus sebak…

                                                                                                                                                                   

AIR MATA DI MALAM PERTAMA

Hatiku bercampur baur antara kegembiraan, kesedihan dan kehibaan. Terlalu sukar untuk kugambarkan perasaan hatiku tatkala ini. Sanak saudara duduk mengelilingiku sambil memerhatikan gerak geri seorang lelaki yang berhadapan dengan bapaku serta tuan imam.
Hari ini adalah hari yang cukup bermakna bagi diriku. Aku akan diijab kabulkan dengan seorang lelaki yang tidak pernak kukenali pilihan keluarga. Aku pasrah. Semoga dengan pilihan keluarga ini beserta dengan rahmat Tuhan. Bakal suamiku itu kelihatan tenang mengadap bapaku, bakal bapa mentuanya. Mereka berkata sesuatu yang aku tidak dapat mendengar butir bicaranya. Kemudian beberapa orang mengangguk-angguk. Serentak dengan itu, para hadirin mengangkat tangan mengaminkan doa yang dibacakan lelaki itu.
“ Ana dah jadi isteri!” Bisik sepupuku sewaktu aku menadah tangan. Tidak semena-mena beberapa titis air mata gugur keribaanku. Terselit juga hiba walaupun aku amat gembira. Hiba oleh kerana aku sudah menjadi tanggungjawab suamiku. Keluarga sudah melepaskan tanggungjawab mereka kepada suamiku tatkala ijab kabul.
“ Ya Allah! Bahagiakanlah hidup kami. Kurniakanlah kami zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan penyeri hidup kami nanti.” Doaku perlahan.
aku bertafakur sejenak. Memikirkan statusku sekarang. Aku sudah bergelar isteri. Sudah tentu banyak tanggungjawab yang perlu aku tunaikan pada suamiku dan pada keluarga yang aku dan suamiku bina nanti.
“ Mampukah aku memikul tanggungjawab ini nanti?” Tiba-tiba sahaja soalan itu berdetik di hati.
Kadang-kadang aku rasakan seolah-olah aku tidak dapat melaksanakan tanggungjawab seorang isteri terhadap suami.
“ !” Sapa suatu suara yang mematikan tafakur tadi. Baru aku perasan, seorang lelaki berdiri betul-betul di hadapanku. Aku masih tidak mampu untuk mendongak, melihat wajahnya itu. Aku berteleku melihat kakinya.
Sanak saudara yang tadi bersama-samaku, kini membukakan ruang buat lelaki itu mendekatiku. Aku tambah gementar bila dibiarkan sendirian begini. Tanpa kusangka, dia duduk menghadapku.
“ Sayang….!” Serunya perlahan. Suaranya itu seolah membelai dan memujuk jiwaku supaya melihat wajahnya.
aku memaksa diriku untuk mengangkat muka, melihat wajahnya. Perlahan-lahan dia mencapai tangan kiriku, lalu disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan zamrud kejari manisku.
“ Abang…!” Seruku perlahan sambil bersalam dan mencium tangan lelaki itu yang telah sah menjadi suamiku.
“ Ana serahkan diri Ana dan seluruh kehidupan Ana kepangkuan abang. Ana harap, abang akan terima Ana seadanya ini seikhlas hati abang..” Bisikku perlahan. “ Kita akan sama-sama melayari hidup ini dan akan kita bina keluarga yang bahagia.” Janjinya padaku.
Itulah kali pertama aku menemui suamiku itu. Aku tidak pernah melihatnya selain daripada sekeping foto yang telah diberikan emak kepadaku.
Kenduri perkahwinan kami diadakan secara sederhana sahaja. Namun meriah dengan kehadiran sanak saudara terdekat dan sahabat handai yang rapat. Senang sikit, tak payah berpenat lelah. Sibuk juga aku dan suamiku melayani para tetamu yang hadir ke majlis itu.
Ramai juga teman-teman suamiku yang datang. Mereka mengucapkan tahniah buat kami berdua. Tak sangka, suamiku punyai ramai kawan. Katanya, kawan-kawan sejak dari universiti lagi.
Pada pandanganku, suamiku itu memang seorang yang segak. Berbaju melayu putih sepasang serta bersampin. Aku juga memakai baju pengantin putih. Kami dah berpakat begitu.
aku selalu berdoa pada Tuhan agar Dia kurniakan padaku seorang suami yang dapat membimbing dan menunjukkan aku jalan ketuhanan. Mengasihi aku sebagai seorang isteri. Tidak kuminta harta mahupun pangkat, cukuplah sekadar aku bahagia bersamanya dan dia juga bahagia denganku. Aku juga sering berdoa agar dikurniakan zuriat yang dapat membahagiakan kami.
“ Ana, ada perkara penting yang mak dan ayah nak bincangkan dengan Ana.” Ayah memulakan mukadimah bicaranya di suatu petang sewaktu kami minum petang di halaman rumah. Mak hanya diam memerhatikan aku, membiarkan ayah yang memulkan bicaranya.
“ Apa dia ayah, mak? Macam penting saja.” Soalku tanpa menaruh sebarang syak wasangka.
“ Sebenarnya, kami telah menerima satu pinangan bagi pihak Ana.”
“ Apa!!!” Pengkhabaran begitu membuatkan aku benar-benar terkejut. Aku masih belum berfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam usia begini. Aku mahu mengejar cita-citaku terlebih dahulu. Aku tidak mahu terikat dengan sebarang tanggungjawab sebagai seorang isteri.
“ Kenapa ayah dan mak tak bincang dengan Ana dulu?!” Soalku agak kecewa dengan keputusan mak dan ayah yang membelakangi aku. Sepatutnya mereka berbincang denganku terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal mencorakkan masa depanku.
“ Kami tahu apa jawapan yang akan Ana berikan sekiranya kami membincangkan perkara ini dengan Ana. Pastinya Ana akan mengatakan bahawa Ana masih belum bersedia. Sampai bilakah Ana akan berterusan begitu?” Ayah mengemukakan alasannya bertindak demikian.
“ Sebagai orang tua, kami amat berharap agar anak kesayangan kami akan mendapat seorang suami yang boleh melindungi dan membimbing Ana.” Ujar mak setelah sekian lama membisu.
“ Apakah Ana fikir mak dan ayah akan duduk senang melihat anak gadisnya berterusan hidup sendirian tanpa penjagaan dari seorang suami? Kami bukan nak lepaskan tanggungjawab kami sebagai orang tua, tapi itulah tanggungjawab orang tua mencarikan seorang suami yang baik untuk anak gadisnya.” Terang ayah lagi.
“ Ana……!” Seru ayah setelah dia melihat aku mendiamkan diri, menahan rasa.
“ Percayalah, kami membuat keputusan ini adalah untuk kebaikan Ana sebab kami terlalu sayangkan Ana.”
“ Ini cincinnya, pakailah.” Mak meletakkan satu kotak kecil berbaldu di hadapanku. Perasaanku berbaur. Macam-macam yang datang. Berbelah bagi. Apa yang patut aku lakukan sekarang. Sekiranya aku menerima dan bersetuju dengan keputusan mak dan ayah itu, bermakna aku telah membiarkan cita-citaku semakin kabur dan berbalam di hadapan. Namun kiranya aku menolak, bermakna aku telah melukakan hati kedua-dua orang tuaku itu. Orang tua yang telah banyak berjasa dalam hidupku. Tanpa mereka berdua. Aku takkan hadir dan mustahil untuk melihat dunia ini.
“ Ahhhhgggg……..” Keluhku sendirian. Aku dalam dilemma. Yang manakah patut aku utamakan? Perasaan sendiri atau perasaan dan harapan mak dan ayah. Aku selalu tewas bila melibatkan perasaan mak dan ayah. Aku terlalu takut untuk melukakan hati mereka. Aku takut hidupku nanti tidak diberkati Tuhan.
Azan maghrib yang berkumandang mengejutkan aku dari lamunan. Dah masuk waktu maghrib rupanya. Masih banyak lagi barang-barang yang belum dikemaskan. Penat juga nak kemaskan semua ni.
“ Nanti kita kemas lepas ni. Mari solat maghrib dulu.” Ujar ayah padaku.
Adik-adik sibuk bentangkan tikar dan sejadah di ruang solat. Begitulah selalunya apabila kami berkumpul. Solat berjemaah adalah saru agenda yang tidak boleh dilupakan.
Semua orang telah siap sedia menunggu sewaktu aku keluar dari berwudhuk di bilik air. Aku cepat-cepat mengenakan telekung dan memasuki saf bersama emak, kakak dan adik.
Selesai saja iqamah, ayah memberikan penghormatan kepada suamiku untuk menjadi imam. Dia kelihatan serba salah dengan permintaan ayah itu. Dia merenung ke arahku. Aku hanya mengangguk sebagai isyarat supaya dia memenuhi permintaan ayah itu. Maka dengan tenang, dia mengangkat takbir. Menjadi imam solat maghrib kami pada malam itu.
Betapa hatiku tenang sekali menjadi makmumnya. Dengan bacaan yang jelas dan merdu itu membuatkan aku berasa kagum dengan suamiku itu. Mungkin tepat pilihan ayah dan mak buatku. Bacaannya lancar lagi fasih. Bagaikan seorang arab yang menjadi imam.
“ Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami terlupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kami dengan bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Jangan Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang tidak terdaya kami memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami.”
“ Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami daripada isteri dan suami serta zuriat keturunan yang boleh menjadi cahaya mata buat kami dan jadikanlah kami daripada golongan orang-orang yang muttaqin.”
Dia membaca doa dengan khusyuk memohon kepada Tuhan setelah selesai solat. Kami bersalaman. Aku mendekati suamiku sambil menghulurkan tangan.
“ Bang, maafkan Ana!” Bisikku perlahan sewaktu mencium tangannya. Dia kemudiannya mengucupi dahiku sebagai tanda kasih yang tulus.
“ Sayang tak ada apa-apa salah dengan abang.” Ujarnya sambil tersenyum merenung wajahku.
Selepas berwirid dan berzikir, dia bangun menuju ke halaman rumah.
“ Abang nak kemana tu?” Soalku.
“ Nak kemaskan barang-barang kat bawah tu. Ada sikit lagi.” Jawabnya.
“ Dah lah tu. Rehat sajalah. Esok kita boleh sambung lagi.” aku kasihan melihatnya, keletihan.
“ Betul kata Ana tu Zul. Sambung esok sajalah.” Sampuk ayah yang tiba-tiba mendengar perbualan kami. Emak pun mengangguk menyetujui sarananku itu.
“ Takpelah ayah, Ana. Sikit aje tu. Kejap saja saya buatnya.” Dia masih berkeras sambil berlalu turun ke halaman rumah untuk mengemas beberapa peralatan yang masih lagi berada di bawah khemah.
aku menukar pakaian, kemudian keluar membantu suamiku mengemas barang-barang di halaman rumah. Dia kelihatan asyik tanpa menyedari kehadiranku. Semua barang-barang telah dikemasnya. Aku mencapai kain pengelap dan mula mengelap meja.
“ Bila Ana turun?” Soalnya apabila menyedari aku sedang mengelap meja.
“ Baru aje. Asyik sangat abang buat kerja sampai tak sedar Ana datang.”
“ Maafkan abang sayang.” Dia menghampiriku.
“ Sayang tak marahkan?” Soalnya lagi sambil memeluk pinggangku erat.
aku merenungnya, kemudian mengeleng-ngeleng sebagai tanda aku tak ambil hati pun pasal tu. Dia tersenyum sambil menghadiahkan satu ciuman di pipiku.
“ Ish…abang ni! Nanti dilihat orang, malu kita.” Rungkutku tersipu-sipu. Nanti malu juga kalau dilihat oleh ahli keluargaku.
“ Apa nak malu, kan sayang ni isteri abang.” Jawabnya tersenyum.
“ Tau lah, tapi tengok lah keadaan dan tempat. Kalau kita berdua saja, lebih dari cium pun Ana bagi.”
“ Betul ni?” Soal suamiku cepat-cepat.
“ Ish…gatal lah abang ni!” Dia cuba mengelak dari menjadi mangsa cubitan tanganku.
aku terasa bahagia disayangi begini. Inilah pertama kali dalam hidupku merasai betapa nikmatnya cinta dan kasih sayang seorang kekasih hati yang aku sayangi. Aku tidak pernah terlibat dengan cinta walaupun semasa aku di universiti dulu. Dan pada tika ini. Aku akan menikmatinya selepas perkahwinan. Cinta seorang suami terhadap seorang isteri.
Walaupun begitu,masih ada sedikit rasa takut di hatiku. Aku takut aku tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Aku takut aku tidak mampu untuk menjadi seorang isteri yang solehah dan mulia dalam hidup suamiku.
“ Apa yang Ana menungkan ni?” Soalan itu mengejutkan aku dari lamunan. Aku berehat sekejap di atas kerusi batu dalam taman di halaman rumah setelah selesai mengemas barang-barang.
“ Abang ni, terkejut Ana tau!” aku buat-buat merajuk. Saja nak menduga bagaimana suamiku memujuk.
“ Alaa…….sayang ni.macam tu pun nak marah.” Usiknya sambil mencubit pipiku.
“ Nampak gayanya terpaksalah abang tidur bawah katil dengan nyamuk-nyamuk malam ni sebab isteri abang dah merajuk. kasihan kat abang ya…..!” aku mula tersenyum dengan kata-kata suamiku itu. Pandai juga suamiku buat lawak nak memujuk aku.
“ Sayang….!” Seru suamiku sambil merangkul tubuhku.
“ Sayang nak honeymoon kemana?” Tak terfikir pulak akau pasal honeymoon tu. Aku pun tak ada apa-apa plan atau cadangan pasal tu.
“ Ana ikut aje kemana abang nak bawa.”
“ Kalau abang bawa ke bulan atau bintang, sayang nak ikut ke?” Guraunya.
“ Banyak ke duit abang nak bayar tambang roket dan nak beli set bajunya nanti?” Soalanku itu membuatkan suamiku pecah ketawa.
“ Nanti sayang nak berapa orang anak?” Soalnya lagi setelah ketawanya reda.
“ Abang nak berapa?” Soalku kembali tanpa menjawab soalannya.
“ Abang nak sebanyak mungkin. Larat ke sayang nanti?”
“ Ish…..abang ni. Abang ingat Ana ni kilang anak ke?” Sekali lagi suamiku ketawa. Nampaknya dia adalah orang yang mudah ketawa.
“ Takdelah macam tu. Tapi abang suka kalau kita ada anak yang ramai. Sama banyak lelaki dan perempuan.”
“ Insya Allah, kalau ada rezeki nanti Ana sanggup.” Penjelesanku itu membuatkan suamiku tersenyum gembira.
“ Ni yang buat abang tambah sayang ni.” Satu lagi kucupan mesra singgah di pipiku.
aku terasa bahagia diperlakukan begitu. Aku punyai suami yang baik dan penyayang. Aku rasa dilindungi.
“ Zul, Ana! Jom kita makan dulu!” Suara mak memanggil.
“ Mari bang! Ana pun dah lapar ni.” Ajakku sambil memimpin tangannya. Kami bangun beriringan masuk ke dalam rumah untuk menghadapi hidangan makan malam.
rasa lapar lah juga kerana sejak tadi lagi asyik layan tetamu dan buat kerja aje sampai lupa untuk makan. Seronok sangat dengan kahadiran kawan-kawan rapat serta gembira dianugerahi seorang suami yang baik.
Sudah beberapa hari aku asyik memikirkan pasal pertunanganku. Terlalu sukar untuk aku menerimanya. Tambah lagi dengan lelaki yang tidak pernah kukanali. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Kehidupan yang memerlukan persefahaman sepanjang hidup. Tanpa persefahaman dan tolak ansur, mustahil dua jiwa dan dua hati boleh bersatu dalam menjalani hidup sebagai suami isteri. Tidak sedikit cerita yang aku dengar tentang rumah tangga yang hanya mampu betahan buat seketika atau separuh jalan sahaja. Kemudian pecah berkecai umpama kapal dipukul badai. Berselerak dan bertaburan. Apataha lagi kalau dah dikurniakan anak. Anak-anak akan jadi mangsa keadaan.
“ Mampukah aku menerima suamiku nanti sepenuh hatiku? Mampukah aku menyediakan seluruh ruang isi hatiku ini buat suamiku itu? Bahagiakah aku bila bersamanya nanti?” Bertalu-talu persoalan demi persoalan menerjah benak fikiranku. Aku rasa amat tertekan dengan keadaan ini. Bukan aku tak fakir pasal rumah tangga, tapi aku masih belum bersedia untuk melaluinya.
“ Ya Allah, bantulah aku dalam membuat keputusan. Tunjukkanlah aku jalan penyelesaian. Janganlah Engkau biarkan aku sendirian dalam menentukan masa depan hidupku.”
“ Ya Allah. Aku benar-benar tersepit antara kehendak orang tuaku dan persaan hatiku sendiri. Kiranya ia baik buatku, maka berilah aku redha dalam menerimanya wahai Tuhan.
Indahnya kuperhatikan suasana kamarku. Aku sendiri yang menghiasinya. Kamar malam pertamaku bersama seorang lelaki yang bergelar suami. Kamar yang akan menjadi saksi bisu bila mana aku menyerahkan khidmatku pada seorang suami. Kegusaran dan sedikit gentar mula bertandang dalam sanubari. Aku rasa takut sendirian untuk melalui keindahan malam pertama ini. Bagaimanakah akan melayani suamiku nanti?
Ketukan pada pintu bilik membuatkan hatiku bertambah gusar. Dari tadi lagi aku hanya duduk di birai katil.
“ Masuklah, pintu tak berkunci.” aku bersuara perlahan. Aku pasti, itu adalah suamiku.
Dia masuk, kemudian menutup pintu bilik kami dengan perlahan. Dia kemudiannya menghampiri dan duduk di sisiku.
“ Kenapa asyik termenung aje ni? Sayang tak gembirakah bersama abang?” aku tak menyangka soalan itu yang diajukan oleh suamiku tatkala ketakutan di malam pertama begitu membanjiri jiwaku.
aku hanya mampu mengeleng-ngeleng. Aku sendiri tak tahu apa jawapan yang terlebih baik untuk soalan suamiku itu.
“ Habistu apa yang sayang menungkan ni?”
“ Ana takut bang!” Itulah aku rasa jawapan yang tepat bagi menjawab soalannya.
Dia memelukku erat sambil membelai rambutku.
“ Apa yang nak ditakutkan? Abangkan ada. Abang akan Bantu dan tolong sayang. Kita sama-sama bina keluarga kita.” Pujuk suamiku.
“ Ana takut Ana tak mampu untuk menjalankan tugas sebagai isteri abang. Ana banyak kelemahan bang. Ana takut nanti Ana akan mengecewakan abang. Ana takut…..” aku tidak sempat untuk meneruskan kata-kataku kerana suamiku telah meletakkan telunjuknya di bibirku tanda tidak membenarkan aku menghabiskan bicaraku. Terkebil-kebil mataku memandangnya.
“ Sayang, abang terima sayang sebagai isteri abang seadanya. Abang terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada sayang. Usahlah sayang risaukan pasal itu. Ok sayang!” Bisiknya.
aku memeluknya syahdu di atas penerimaannya terhadapku.
“ Sayang, abang nak mandi kejap. Badan ni dah rasa macam melekit.” aku bangun membuka almari pakaian dan mencapai sehelai tuala serta kain pelikat. Kuhulurkan kepadanya dengan penuh kasih sayang.
Dia tersenyum kepadaku dan mencium pipiku sebelum berlalu ke bilik air. Kemudian aku terdengar siraman air terjun ke lantai.
Malam berarak perlahan. Langit kelihatan gelap pekat tanpa bulan dan bintang. Mungkin sekejap lagi hujan akan mencurah, membasahi bumi yang sudah beberapa hari merindui titis air untuk membajai ketandusannya.
“ Ayah, mak! Ana dah buat keputusan.” Beritahuku sewaktu kami sedang berehat di beranda rumah pada suatu hari.
Ayah yang sedang membaca akhbar dan emak yang sedang menyulam tiba-tiba memandangku serentak, kemudian berpaling sesama sendiri.
“ Keputusan tentang apa?” Soal ayah inginkan kepastian. Mungkin mereka tertanya-tanya keputusan apakah yang telah kubuat.
“ Pasal peminangan tu.” Ujarku.
Ayah dan emak kembali merenungku. Mereka memberikan perhatian kepada apa yang bakal aku beritahu. Keputusan yang telah kubuat setelah berfikir baik dan buruknya. Keputusan yang bakal menentukan masa depan arah perjalanan hidupku.
“ Kiranya ini takdir Tuhan, maka Ana redha dengan jodoh yang ayah dan emak pilih.” Terasa pilu sekali hatiku sewaktu meluahkannya. Ada sedikit titis jernih jatuh ke riba. Aku mengesatnya dengan hujung jari.
Emak bangun dan memelukku. Aku tidak tahu apakah ertinya pelukan emak itu. Pelukan gembira oleh kerana aku menerima pilihan mereka atau pelukan untuk menenangkan jiwaku yang sedang berkecamuk dan sedih ini? Hanya emak yang tahu hakikatnya.
“ Syukurlah, moga Ana bahagia nanti.” Ucap ayah padaku.
aku terpaksa berkorban demi untuk melihat senyuman di bibir ayah dan emak walaupun hatiku sendiri terpaksa menangis. Tapi adalah terlebih baik bagiku memakan hatiku sendiri daripada memakan hati orang tua ku.
“ Nanti mak kenalkan dia pada Ana.” Ujar emak sambil tersenyum kerana keputusanku memihak kepada mereka.
“ Tak payahlah mak. Kenalkan pada Ana di hari perkahwinan tu aje.” aku rasa lebih baik demikian kerana selepas ijab Kabul aku sudah tidak punyai pilihan lain selain daripada menerima walaupun dengan terpaksa lelaki pilihan ayah dan emak ku itu sebagai suamiku. Aku tidak mahu pertemuan sebelum ijab kabul nanti akan menyebabkan aku berbelah bagi dengan keputusan yang telah aku buat.
“ Kenapa pula macam tu? Kan lebih baik kalau Ana berkenalan dahulu dengannya.” Ayah mempersoalkan keputusanku itu.
“ Ana telah memenuhi kehendak ayah dan mak dengan menerima pilihan ayah dan mak. Tak bolehkah ayah dan mak memenuhi permintaan dan kehendak Ana pula?” aku berlalu meninggalkan mereka dalam keadaan tercengang dengan permintaan ku itu.
aku siapkan kamar tidur seadanya. Aku letakkan pakaian persalinan buat suamiku di atas katil. Aku menunggunya keluar dari bilik air. Aku sendiri telah bersiap-siap menukar pakaian malam menanti suamiku itu dengan penuh debaran. Kedengaran pintu bilik air dibuka. Dia keluar sambil tersenyum ke arahku.
“ Sayang, boleh tak ambilkan abang segelas air. Dahagalah.” Pintanya sambil mengelap-ngelap badannya dengan tuala di tangan.
“ Baik bang. Bang, ni baju abang.” Ujarku sambil bangun untuk ke dapur.
Sewaktu aku keluar, lampu di ruang tamu semuanya telah dipadamkan. Kulihat jam dah dekat pukul 1 pagi.
“ Patutlah.” Bisik hatiku. Aku meneruskan langkahku ke dapur dalam smar-samar cahaya bilik yang masih lagi terpasang.
Kupenuhkan labu sayung dengan air masak dan ku capai sebiji gelas. Aku membawa kedua-duanya menuju ke bilik.
Suasana malam agak sunyi. Tiada bunyi cengkerik atau cacing tanah. Cuma kat luar sana kadang-kadang langit kelihatan cerah diterangi cahaya kilat memancar. Malam yang pekat bakal mencurahkan hujan.
Sewaktu aku melangkah masuk ke bilik, kelihatan suamiku sedang khusyuk berdoa atas sejadah. Mulutnya terkumat kamit tanpa kutahu butir bicaranya.
Kutuangkan air kedalam gelas dan kuletakkan atas meja menanti suamiku selesai berdoa. Kemudian dia bangun menghampiriku. Aku menghulurkan gelas air kepadanya.
“ Bang…….” Seruku.
“ Ada apa sayang?” Soalnya apabila melihat aku tersipu-sipu kearahnya.
“Malam ni abang nak…….nak…..” Agak segan untuk kuteruskan pertanyaan itu. Suamiku masih lagi menanti persoalan yang kutanya.
“ Nak apa sayang?” Soalnya lagi sambil tersenyum.
“ Ah….abang ni.” aku malu sendirian apabila melihat suamiku seolah-olah dapat membaca fikiranku.
“ Ya, abang nak sayang layan abang malam ni. Boleh tak?” Bisiknya ketelingaku.
aku hanya mampu mengangguk-angguk tanda bersedia untuk melayani segala kehendak dan kemahuannya. Aku cuba untuk mempersiapkan diri sebagai seorang isteri yang mampu menyediakan dan memenuhi segala keperluan dan kemahuan suamiku itu.
“ , wahai pintu rahmat!” Bisik suamiku.
“ Waalaikumussalam wahai tuan pemilik yang mulia.” Jawabku.
Malam yang gelap kehitaman itu kulaluinya bertemankan seorang lelaki yang telah kuserahkan kepadanya seluruh jiwa dan ragaku ke dalam tangannya. Dia berhak segala-galanya keatasku. Sebagai seorang isteri. Aku mesti sentiasa patuh kepada segala arahan dan suruhannya selagi mana ia tidak bercanggah dengan ketetapan Tuhan dan Rasul.
Pertama kali kulalui dalam hidupku, malam bersama seorang lelaki yang telah dihalalkan aku keatasnya. Aku umpama ladang dan suamiku itu adalah peladang. Ia berhak mendatangiku mengikut sekehendak hatinya. Aku telah membaca beberapa buah buku tentang alam perkahwinan, rumahtangga dan tanggungjawab seorang isteri apabila aku menerima pilihan emak dan abah terhadapku. Aku cuba untuk memperaktikkannya selagi aku termampu untuk melakukannya. Aku cuba menjadi yang terbaik bagi suamiku. Aku ingin suamiku bahagia bersamaku. Aku ingin menjadi permaisuri yang bertahta di hati dan jiwanya sepanjang usia hayatnya.
Rasulullah bersabda:
“Sebaik-baik isteri itu ialah yang dapat menenangkan kamu apabila kamu melihatnya dan taat kepada kamu apabila kamu perintah dan memelihara dirinya dan menjaga hartamu apabila kamu tiada.”
Rasulullah bersabda:
“ Setiap wanita itu adalah pengurus sebuah rumahtangga suaminya dan akan ditanyakan hal urusan itu.”
Rasulullah bersabda:
“ Isteri yang mulia ini merupakan sesuatu yang terbaik di antara segala yang bermanfaat di dunia.”
Rasulullah bersabda:
“ Sesungguhnya wanita yang baik itu adalah wanita yang beranak, besar cintanya, pemegang rahsia, berjiwa kesatria terhadap keluarganya, patuh terhadap suaminya, pesolek bagi suaminya, menjaga diri terhadap lelaki lain, taat kepada ucapan suaminya dan perintahnya, dan apabila bersendirian dengan suaminya, dia pasrahkan dirinya kepada kehendak suaminya itu.”
Sesungguhnya perkahwinan ataupun rumahtangga itu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh atau yang boleh dipermain-mainkan. Ia adalah suatu ikatan yang menghalalkan yang haram sebelumnya. Ia memerlukan persefahaman, tolak ansur, saling mempercayai, tolong –menolong, kasih mengasihi seikhlas hati dan sebagainya. Tanpa itu semua, mana bisa dua jiwa yang berlainan sifat dan sikap mampu mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan dugaan ini bersama-sama. Ia amat mustahil sekali.
Maka seharusnya kita perlu mempersiapkan diri sebelum memasuki gerbang perkahwinan dengan pelbagai ilmu. Ilmu kekeluargaan, ilmu keibu bapaan, psikologi kanak-kanak dan sebagainya. Jangan cuba untuk menghampirinya selagi mana kita belum benar-benar bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita fikirkan tentang nafsu semata-mata. Fikirkan sama tentang tanggungjawab yang bakal kita pikul nanti. Tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa ataupun ibu. Mampukah kita semua memenuhi atau menunaikan tanggungjawab dan tuntutan itu. Kita pastinya akan dipersoalkan tentang pertanggungjawaban itu. Sama ada di dunia mahaupun di hadapan Tuhan nanti. Kerana tanggungjawab itu adalah amanah yang perlu ditunaikan oleh setiap orang.
Bunyi batuk yang berlarutan menyebabkan aku tersedar dari tidur istimewaku malam ini. Sewaktu aku membuka mata. Aku lihat suamiku sedang bersimpuh diatas sejadah. Dia mengurut-urut dadanya menahan batuk. Aku bingkas bangun, turun dari katil dan menghampirinya.
“ Abang tak apa-apa?” Soalku risau dengan keadaannya. Aku mula risau, takut-takut suamiku itu mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang tidak aku ketahui.
“ Abang ok saja. Mungkin sejuk sikit agaknya.” Jelasnya. Mungkin juga. Hawa dinihari itu sejuk sebab hujan masih lagi bergerimis selepas mencurah lebat semalam.
“ Pergilah mandi, ayah dan semua orang sedang menunggu kita untuk berjemaah di luar tu.” Arah suamiku sambil tersenyum merenungku dengan pajama itu. Aku malu sendirian bila mata suamiku menyorot memerhati seluruh tubuhku itu.
“ Nakallah abang ni.” aku bangun mencapai tuala dan terus ke bilik air untuk mandi. Aku masih lagi terdengar batuk-batuk dari luar.
Ayah mahu suamiku mengimami solat subuh itu, tapi suamiku menolak dengan alasan dia batuk-batuk dan tak berapa sihat. Namun ayah masih berkeras, maka terpaksalah dia menjadi imam.
kasihan aku melihatnya. Bacaannya tidak selancar semalam. Banyak tersangkut dan terpaksa berhenti atau mengulanginya kerana asyik batuk-batuk sahaja. Aku mula risau lagi dengan keadaan begitu.
Selepas beriwirid pendek, dia membacakan doa dengan perlahan tapi masih boleh didengari oleh semua ahli keluargaku. Aku lihat muka suamiku agak kepucatan.
“ Kenapa ni bang?” Soalku sewaktu bersalaman dengannya.
“ Entahlah, abang rasa kurang sihat sikit pagi ni.”
“ Zul sakit ke?” Tanya ayah.
“ Takdelah, cuma kurang sihat sikit. Mungkin sebab cuaca agaknya.” Jawabnya.
“ Elok makan ubat, nanti takut melarat pulak.” Sampuk mak.
“ Nanti Ana ambilkan ubat.” aku bangun ke dapur untuk mengambil ubat dalam rak ubat.
Ubat-ubatan asas sentiasa tersimpan dalm rak ubat di rumahku. Ini bagi memudahkan bagi tujuan rawatan segera kalau ada apa-apa berlaku. Aku ambil sebotol ubat batuk dan segelas air.
Suamiku sudah masuk ke bilik. Batuknya agak berkurangan sedikit dari tadi. Mungkin betul juga ia ada kaitan dengan keadaan cuaca yang sejuk. Dia menghirup sirap batuk yang kusuapkan.
“ Terima kasih.” Ucapnya perlahan. Aku angguk.
“ Abang berehatlah.” Ujarku sambil membaringkan badannya ke atas tilam.
“ Abang minta maaf kerana menyusahkan sayang.”
“ Kenapa pula abang cakap macam tu. Sikit pun Ana tak rasa susah.”
“ Abang tahu sayang susah hati tengok abang begini. Sepatutnya hari pertama begini, abang kena membahagiakan sayang. Tapi abang minta maaf sebab keadaan abang tak mengizinkan.”
“ Dahla tu bang. Ana isteri abang. Ana sentiasa bersedia berkhidmat untuk abang tanpa sedikit pun rasa susah.” Pujukku walaupun sebenarnya hatiku memang runsing dengan keadaannya.
“ Walau apapun yang berlaku, abang tetap sayang dan cintakan sayang. Sayanglah satu-satunya buah hati abang.” Sambung suamiku tanpa menghiraukan nasihatku supaya dia berehat saja.
Entah Kenapa tiba-tiba sahaja hatiku dilanda kesedihan. Entah dari mana ia berputik.
“ Abang minta maaf atas segalanya. Sayang maafkan abang ya!”
“ Abang nak tidur dulu. Mengantuk rasanya.” Ujarnya perlahan.
“ Abang tidurlah.” aku menarik selimut untuk menyelimutinya. Aku menciumi dahinya. Sekejap sahaja dia terlena selepas mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu.
aku memerhatikan suamiku buat seketika. Tidurnya kelihatan tenang dengan susunan nafas yang teratur. Aku suka melihat wajahnya yang memberikan ketenangan buatku. Wajahnya yang agak bersih dihiasi dengan kumis dan jambang yang nipis dan terjaga. Aku berdoa dan berharap agar kurniaan Tuhan ini akan berkekalan bersamaku hingga ke akhir hayat.
Namun segala-galanya telah ditentukan Tuhan. Hidup, mati, rezeki, baik dan buruk seseorang hamba itu telah ditentukan Tuhan semenjak ia berada dalam kandungan ibunya lagi. Maka aku sebagai seorang hamba yang lemah terpaksa menerima segala kehendaknya dengan redha dan tenang. Siapa tahu, rupa-rupanya itulah hari pertama dan terakhir aku bersama suamiku yang baru aku kenali itu. Aku hanya mengenalinya seketika sahaja, namun dia telah meninggalkan aku buat selama-lamanya. Aku belum sempat untuk menjalankan tugasan sebagai isteri dengan sepenuhnya. Apalagi yang dapat aku lakukan. Patutlah dia asyik memohon maaf dariku.
Sewaktu aku ingin mengejutkannya untuk bersarapan, berkali-kali aku cuba memanggil namanya. Namun dia masih tak menjawab. Aku menggoncang tubuhnya, tetapi tetap tak ada respon. Aku sentuh tangannya, sejuk. Aku memeriksa nadi dan denyutan jantungnya. Senyap! Air mataku terus saja mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Menangisi kepergian seorang suami. Aku tersedu-sedu sewaktu semua ahli keluarga masuk kebilik untuk melihat apa yang berlaku setelah terlalu lama aku cuba mengejutkan suamiku itu. Tapi rupanya hanyalah jasad yang terbujur kaku.
“ Sudahlah Ana, bersyukurlah kerana masih ada lagi pusaka tinggalannya buat Ana.” Pujuk emak.
aku hanya mampu tersenyum dengan pujukan emak itu sambil memandang wajah seorang bayi lelaki yang sedang nyenyak tidur disebelahku. Itulah takdir Tuhan, malam pertama yang telah membuahkan hasil. Walaupun hanya pertama, tapi itulah panglima yang menang dalam pertarungan bagi menduduki rahimku ini. Hari ini, zuriat suamiku itu telah menjengok dunia ini. Satu-satunya pusaka yang tidak ada nilai buatku selain sebuah rumah yang telah diwasiatkan oleh suamiku buatku.
Ya Allah, tempatkanlah rohnya bersama golongan yang soleh. Ya Allah, rahmatilah anakku ini. Jadikanlah dia umpama bapanya yang sentiasa taat kepadamu. Jadikanlah ia berjasa kepada perjuangan dalam menegakkan agamamu. Jadikanlah ia sebagai permata yang membahagiakan aku dan seluruh keluargaku.
Amin…..                                                                                                                                                                       

DIMANA ABI???

Dalam suasana malam yang damai, gelap malam hanya diwarnai sinaran rembulan Di teratak sepi yang tidak terlalu mewah dan juga tidaklah terlalu daif tinggal di dalamnya dua orang insan yang dihimpit kesepian, sesepi teratak yang dihuni. Seorang ibu yang juga isteri yang suaminya telah di humban ke dalam tahanan ISA, tahanan tanpa proses perbicaraan yang layaknya digunapakai oleh sang penguasa di rimba raya kerana dituduh ingin menumbangkan kerajaan secara kekerasan.

Namun begitu si ibu ini begitu tabah menghadapi ujian yang berat ini. Aduhai, tabahnya seorang isteri, hasil tarbiah yang telah diberikan oleh suaminya sepanjang mereka bersama dahulu. Namun sejauh manalah tabah seorang isteri yang juga seorang ibu ini bila mengenangkan si anak yang masih mentah dan belum mahu mengerti hakikat perjuangan dan sepak terajang politik, anak kecil yang terpaksa berjauhan dari kasih sayang seorang bapa. Dan bertambah pilu hati si ibu tiap kali menjelmanya pertanyaan daripada si anak yang benar-benar menyentap hati naluri seorang ibu.

“Ummi, di manakah abi, ummi? Aiman rindukan abi.”

Bukan pertama kali pertanyaan ini diungkapkan oleh si anak. Namun begitu tidak pernah jemu si ibu memujuk si anak agar mengerti akan apa yang terjadi. Dengan penuh kasih sayang si ibu membelai pipi si permata suci yang menjadi teman pengubat sunyi, Jelas kelihatan getaran bibir si ibu menahan sebak dan pilu di jiwa, terasa berat untuk menerangkan tentang kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh suaminya kepada si anak.

“Aiman. Aiman sayang ummi kan? ummi kan ada. ummi masih boleh menjaga Aiman.” Dalam getar suara menahan sebak, si ibu cuba sedaya upaya mencari titik-titik kekuatan, membina ketabahan jiwa agar ianya juga meresapi ke jiwa si anak yang masih ‘hijau’ ini.
“Aiman ingat lagi tak kisah nabi junjungan kita Muhammad SAW. Baginda menjadi yatim piatu pada umur sebaya dengan Aiman. Sedangkan Aiman masih beruntung lagi tau sebab umi masih ada untuk menjaga Aiman. Lagipun abi masih ada lagi di dunia ini. Walaupun abi tidak bersama dengan kita tapi kita masih boleh ziarah abi.”
“Tapi ummi, ramai kawan-kawan Aiman kata abi orang jahat. Sebab tu abi kena tangkap dan masuk penjara. Betul ke ummi abi Aiman orang jahat?”

Tersentak ibu muda ini bila mendengar pertanyaan yang bagaikan panahan petir yang cuba hendak meruntuhkan kekuatan jiwa yang baru dibinanya sebentar tadi. Tatkala itu mengalir lesu sebutir air mata si ibu mengenangkan sampai begitu sekali silap faham masyarakat terhadap suaminya. Dia lebih mengenali suaminya yang telah lama dikenalnya sejak dari mereka bergerak dalam jemaah lagi. Suaminya adalah seorang yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran namun dalam masa yang sama dia adalah seorang yang penyayang dan disenangi oleh sahabat-sahabat seperjuangan.

“Aiman jangan salah faham. Tak semestinya orang yang kena tangkap, orang yang masuk penjara itu adalah orang jahat, penjenayah. Aiman tahu tak? Ramai ulama-ulama terbilang seperti Imam Ibnu Hanbal, Imam Malik, Imam Syafie, Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim pada zaman dahulu telah dipenjarakan oleh pemerintah, bukan kerana mereka mencuri, bukan kerana mereka merompak, tetapi kerana mereka menyatakan kebenaran, menafikan kebatilan dan menegur kezaliman pemerintah.”
“Jadi ummi, adakah abi dipenjarakan kerana abi menyatakan kebenaran?”
“Benar Aiman. Abi Aiman adalah seorang yang tegas dalam memperjuangkan kebenaran, kuat tekad dan azamnya untuk melihat tertegaknya sebuah pemerintahan islam di negara kita. Oleh sebab itulah abi tidak disenangi oleh pemerintah, lalu abi difitnah dengan tuduhan ingin menjatuhkan kerajaan dengan cara perperangan.”
“Aiman minta maaf ummi sebab pertanyaan Aiman tadi buat ummi menangis. Aiman berjanji ummi, Aiman juga ingin jadi macam abi bila besar nanti. Asalkan ummi redha anak ummi ini dipenjarakan.”

Sayu hati si ibu apabila mendengar azam si anak kesayangannya, agak terubat kesedihan yang dialaminya sebentar tadi.

“Sudahlah tu, dah lewat malam ni, Aiman tidurlah, esok nak sekolah. Untuk jadi seorang pejuang islam Aiman kena ada ilmu. Biar ummi dodoikan.”

Tidurlah sayang
ummi dodoikan
bersama zikir mendamaikan….

Bangunmu esok
menjadi pejuang
mujahid sepanjang zaman…

Malam itu lena benar si anak dibuai alunan nasyid dan zikir dari si ibu yang bukan sekadar alunan, tetapi tersurat sejambak harapan agar si anak menjadi anak soleh yang berjiwa mujahid suatu hari nanti. Bangunnya esok mungkin akan menjelma kembali persoalan yang sama. ‘ummi, di manakah abi?’ Entahlah, si anak yang masih ‘hijau’ apalah yang hendak dimengertikan

—————–
Menuju kemenangan ubudiyah

[ Telah diedit oleh: lidah-penghunus pada 30-10-05 02:26 ]

                                                                                                                                                                       

JODOH KITA…

“Saya cuba sembunyikan agar tiada siapa tahu tapi ia hadir setiap kali mata kita bertentang… saya tidak peduli siapa kau dan dari mana kau hadir selagi kau mencintaiku”
rasa yang sungguh selesa dan dingin seolah-olah dia berada di atas katil bertatahkan emas dan berselimutkan sutera. Aina menarik selimut itu lagi hingga ke paras bahunya. Matanya masih lagi berat untuk dibuka tetapi dia merasakan ada sesuatu kelainan pada selimutnya. Bau bilik itu juga lain.

Tiba-tiba, dia kedengaran langsir yang dibuka dan lantas itu juga sinaran matahari menyilaukan matanya. Cepat-cepat dia membuka matanya dan alangkah terkejutnya apabila melihat keadaan di bilik itu.

“Cik Harlisa dah bangun? Baru tadi Datuk bertanyakan tentang cik…” ujar seorang perempuan separuh umur kepadanya . Aina bangun dari katil itu, masih dalam keadaan terpinga-pinga. Dia tidak tahu bagaimana dia berada di bilik itu. Perempuan tua itu pula masih mengukir senyuman seolah-olah sudah biasa dengannya.

“Cik Harlisa mandi dulu. Nanti Mak Jah siapkan sarapan ya…” ujarnya lagi dan mula mengatur langkah meninggalkan Aina. Aina keliru. Siapa pula Harlisa, di mana dia berada dan bagaimana dia sampai ke sini?

“Tunggu dulu, makcik. Saya bukan Harlisa. Di mana saya ni?” tanyanya dalam keadaan yang cemas. Dia tidak pernah berada di bilik sebegitu indah itu dan penuh kemewahan.

“Kenapa Cik Harlisa kata begitu? Inikah rumah cik. Apa yang cik merepek ni?” jawab perempuan dengan tenang. Tanpa menunggu jawapan daripada Aina perempuan itu terus meninggalkannya.

Aina terduduk kembali di atas katil. Apa sebenarnya yang telah berlaku kepadanya? Apa yang diingatinya, dia berjalan seorang diri di dalam kawasan yang gelap dan dia ditarik oleh seseorang. Mulutnya ditutup kemas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa. Ya !!! Dia amat pasti dengan apa yang telah berlaku. Dia bukan Harlisa.

“Cik tak mandi lagi?” suara perempuan tua tadi mengejutkannya. Perempuan itu sentiasa menguntum senyuman. Aina berasa amat rimas dengan kelakuan perempuan itu. Dia dapat merasakan perempuan berpura-pura dan menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Terus dia berdiri dari katil itu.

“Sudahlah !!! Tak payahlah makcik nak berpura-pura dengan saya. Jangan nak menipu saya. Saya bukan Harlisa dan saya nak tahu di mana saya berada saya berada sekarang ni…” tanpa dapat menahan kesabarannya, Aina meninggikan suaranya. Suasana sepi seketika hanya kedengaran nafas Aina yang turun naik. Dia dapat merasakan dirinya dipermainkan dan apakah permainan ini sebenarnya?. Mengapa dia yang menjadi mangsa permainan itu? Setahunya dia tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa pun. Perempuan itu melangkah beberapa langkah ke arah meja solek di bilik itu dan mengambil satu ‘frame’ gambar yang berada di situ. Dia menghulurkannya kepada Aina.

“Inikan gambar cik?”

Aina meneliti gambar itu dan memang benar itu wajahnya. Dia betul-betul keliru dengan apa yang berlaku.

“Kalau cik tak percaya, nanti Mak Jah ambil gambar-gambar lain,” tambah perempuan, membuka laci meja solek dan mengeluarkan beberapa buah album gambar.

Aina membelek-belek gambar-gambar itu satu persatu. Melihat insan di dalam gambar itu yang kelihatan ceria dan gembira dengan keluarganya. Memang betul itu wajah itu ada iras wajahnya dan yang pasti bukan wajahnya. Akhirnya dia faham dengan apa yang berlaku setelah melihat gambar Datuk Hamidi memeluk erat gadis itu dan berhujankan salji. Sungguh bahagianya mereka.

“Itukan papa Cik Harlisa ?”ucap perempuan itu lagi.
Aina mendiamkan dirinya. Dia masih leka membelek gambar-gambar itu. Dia sudah faham apa yang dimainkan oleh Datuk Hamidi. Hatinya diusik pilu. Lelaki itu cuba mengembalikan kenangan yang tidak akan berulang lagi.

“Mak Jah keluar dulu ya.”
****

Aina menunggu kepulangan Datuk Hamidi di perkarangan rumah banglo itu. Suasana rumah itu begitu tenang sekali, kebetulan kedudukannya yang berhampiran dengan bukit. Di perkarangan rumah itu juga terdapat taman bunga dan kolam dengan anak-anak ikan emas yang sedang enak berenang ke sana ke mari.

“Sayang… rumah sebesar itu tetapi tiada penghuni,” bisik Aina sendirian.

Setelah hampir maghrib, Aina masuk kembali ke rumah itu dan orang yang ditunggunya belum lagi menunjukkan dirinya. Dia menjenguk ke dapur melihat Mak Jah yang sentiasa sibuk dengan kerjanya.

“Cik Harlisa… nak apa?” soal perempuan itu terkejut. Aina senyum. “Sebentar tadi Datuk telefon, dia beritahu ada urusan di London tiga hari,” beritahu perempuan itu lagi. Tangan ligat membersihkan pinggan di dalam sink.

“Oh… begitu,”jawab Aina sedikit terkejut. Dia merasakan lelaki itu ingin menjauhkan dirinya. Aina termenung, bagaimana dia ingin menyesuaikan dirinya dengan keadaan di rumah itu sedangkan tuannya entah ke mana. Lari atau tidak. Aina juga terfikir untuk melarikan diri dari banglo itu tetapi dia masih waras. Lelaki itu ikhlas untuk mengambilnya sebagai anak angkat cuma Aina yang masih ragu-ragu dengan keikhlasan itu.
****
Hari yang dinantikan telah tiba. Hari itu genaplah tiga hari Datuk Hamidi berada di London dan Mak Jah memberitahu Aina bahawa lelaki itu akan tiba di Malaysia tengah hari itu juga. Apa yang peliknya, Mak Jah kelihatan begitu sibuk mengadakan persiapan seolah-olah ingin menyambut kepulangan orang yang telah bertahun-tahun tidak ditemuinya. Rumah itu dihias dengan cantik. Aina membantu Mak Jah memasak makanan tengah hari.

Saat yang ditunggu telah tiba. Sebuah kereta Mercedes hitam masuk ke perkarangan banglo itu. Mak Jah, Pak Abu dan Aina berdiri di muka pintu menyambutnya. Jantung Aina berdenyut kencang. Dia tidak tahu bagaimana dia akan bersemuka dengan Datuk Hamidi. Apakah dia perlu memanggil lelaki ‘papa’?

Lain yang dijangka, bukan Datuk Hamidi seorang saja yang keluar dari kereta itu tetapi ada seorang lagi pemuda lagi di sampingnya. Aina meneguk air liurnya perit. Datuk Hamidi menjeling ke arahnya manakala pemuda mengukir senyuman kepadanya.

“Selamat pulang ke tanah air Haris,” ucap Mak Jah dengan gembira dan memeluk pemuda itu. Pak Abu juga berpelukan erat dengan pemuda itu dan suasana gamat seketika.

“Siapa pula Haris?” bisik hati Aina.

“Hei… Lis mengapa diam ni?”

Tanpa disedari pemuda itu telah berada di hadapannya. Aina tergaman. Apa yang ingin diucapkannya? Dia tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi dan dia sendiri tidak tahu siapa lelaki itu.

“Tak suka ke abang balik?” ucap pemuda itu lagi. Aina terus mencari kelibat Datuk Hamidi untuk meminta penjelasan tetapi lelaki itu cuma menundukkan kepalanya.

“Kenapa tak suka… Cik Lisa masak banyak makanan kegemaran Haris,” celah Mak Jah dan ketawa. Aina juga terpaksa mengukir senyum.

“Bagus adik abang…” ucap Haris mencuit hidung Aina. “Adik!!!” bisik hati Aina lagi.

“Salam… abang,” terkeluar ucapan itu dari bibir Aina dan serta-merta dia mengambil tangan pemuda itu dan menciumnya. Dia tahu dia harus bertindak melihatkan keadaan Datuk Hamidi yang resah .

“Oklah… jom kita masuk dulu,” celah Datuk Hamidi.

“Eh tunggu dulu… Mana mama…?” soal Haris mengejutkan Aina dan yang lain. Suasana sunyi seketika. “Siapa pula mama?” bisik hati Aina lagi.

“Dia ada mesyuarat penting di Bali. Baru pagi tadi dia berangkat. Dia pun tengah tunggu Haris sebenarnya tapi…” jawab Mak Jah cepat-cepat menyelamatkan keadaan.

“Tak apalah,” potong Haris cepat-cepat seolah-olah kecewa dengan ‘mama’.

Aina cuma mendiamkan diri dan bergerak bersama keluarga itu menuju ke meja makan. Apa yang bermain di benaknya ialah siapakah ‘mama’ dan adakah Haris itu abang kandung Harlisa?
****
Setelah selesai solat Isyak, Aina mengambil kembali album gambar yang pernah dilihatnya pada hari pertama dia di situ. Dia ingin mencari gambar-gambar pemuda itu Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Cepat-cepat Aina mengemas album itu meletakkannnya Alangkah terkejutnya Aina melihat Datuk Hamidi tercegat di depannya.

“Boleh papa masuk,” ujar lelaki itu tanpa kaget menyebut perkataan ‘papa’.

Aina mengangguk kepalanya dan mengizinkan lelaki itu masuk. Dadanya terasa sebak mendengar perkataan itu. Pertama kali dalam hidupnya ada seorang lelaki yang membahasakan dirinya begitu. Sejak kecil lagi dia keempunan mendengarnya dan kini ada orang yang sudi memperdengarnya. Air matanya menitis membasahi pipinya tanpa disedari.

“Kenapa menangis?”

“Sakit..!!!?”soalnya lagi.

Dia memimpin Aina ke sofa. Aina mengelengkan kepala dan menyapu airmatanya. “Pertama kali saya dengar orang membahasakan diri ‘papa’ dengan saya,” ucap Aina meluahkan perasaannya, dadanya semakin diombak pilu. Datuk Hamidi cuma tersenyum dengan ucapan itu. Hatinya turut terusik mendengarnya. Dia tahu Aina tidak pernah menatap wajah ayahnya sejak lahir lagi. Gadis cuma menumpang kasih-sayang di rumah anak yatim sahaja.

“Jangan kata begitu. Mulai hari ini Aina jadilah ahli keluarga kami…janganlah menolak lagi.”

Aina tidak dapat membendung airmatanya lagi lantas dia terus mencium tangan lelaki itu. Dia terharu dengan keikhlasan Datuk Hamidi. Alangkah baiknya, jika dia yang menjadi Harlisa yang sebenarnya.

“Terima kasih, Datuk,” ucapnya dalam keadaan sebak.

“Bukan Datuk tapi papa,” ujar Datuk Hamidi membetulkan perkataan itu dan mereka sama-sama tersenyum.

“Papa minta buat masa ini biarlah Aina guna nama Lis ya… sebab kita mesti rahsiakan perkara ini daripada Haris.”

“Baiklah… tapi mengapa?”

“Sebab papa tak nak Haris putus semangat lagipun ada satu perkara lagi yang Aina dan Haris tidak tahu,” jawab lelaki itu dengan suara yang agak mendatar. “Mari papa tunjukkan,” jawabnya lagi dan menarik tangan Aina keluar dari bilik itu.

“Mak Jah tolong panggilkan Haris ke bilik saya,” arah Datuk Hamidi.

Setelah pintu bilik tidur itu dibuka, mata Aina tertumpu kepada seorang perempuan sedang berbaring di atas katil.

“Mari papa kenalkan kepada mama,” ucap Datuk Hamidi dengan suara yang tersekat-sekat di kerongkongnya. Jantung Aina tersentak kuat. Dia tidak pernah mengetahui tentang kewujudan ‘mama’ walaupun sudah tiga hari dia berada di rumah itu.

“Idah… abang dah jumpa Lis… inipun dia. Idah… bangun sayang…” Lembut sahaja suaranya mengejutkan perempuan itu. Perempuan itu membuka matanya dan berkedip-kedip menatap Aina.

“Mama…” seru Aina dan memegang tangan perempuan itu. Namun perempuan itu tidak memberi sebarang respon. Tangannya sejuk dan kaku. Aina terus memandang Datuk Hamidi meminta penjelasan.

“Batinnya sahaja yang hidup, fizikalnya sudah mati” beritahu lelaki itu dan membelakangi Aina untuk menyapu airmatanya. Aina terduduk mendengarnya. Dia mencium-cium tangan ‘mama’ tetapi perempuan itu hanya melihatnya tanpa sebarang makna. Airmatanya Aina mengalir dengan laju. Walaupun tiada ikatan di antara mereka tetapi entah mengapa hatinya mengatakan mereka begitu dekat sekali.

“Papa sudah putus asa untuk merawatnya. Papa tahu hanya Lis yang boleh merawatnya kerana dia yang menyebabkan semua ini.”

“Sebenarnya Lis terjebak dengan dadah dan malam itu dia telah masuk ke bilik ini untuk mencuri wang tetapi mujur terserempak dengan papa. Dia mengugut akan mencederakan dirinya tetapi mama dan papa tidak pedulikannya. Malangnya Lis lebih berani…dia menikam dirinya sendiri dan masa itu juga mama kamu pengsan,” sambung lelaki itu menceritakan perkara yang sebenarnya berlaku.

“Sebab itukah dia meninggal?”

“Tidak. Dia dapat diselamatkan. Tetapi tiga bulan lepas itu dia meninggal dunia di pusat pemulihan …. sebab dadah,” jawab Datuk Hamidi. Kali ini lelaki itu sudah dapat menahan airmatanya. “Papa kesal kerana tidak dapat mendidiknya dengan baik.” Lelaki itu menyapu airmata di pipi Aina. Tiba-tiba pintu bilik itu diketuk dan Haris masuk ke dalam bilik itu setelah diarahkan.

“Haris… mari jumpa mama kamu…” ucap Datuk Hamidi.
****
Aina termenung di balkoni biliknya. Dia memerhatikan pemandangan bukit-bukau yang tersergam indah di depannya. Tetapi fikirannya masih terkenang kepada ‘mama’. kasihan perempuan itu. Sepenuh hidupnya bergantung kepada orang lain. Sebutir patah perkataan pun tidak pernah terkeluar daripada mulut ‘mama’ cuma matanya sahaja yang dapat berkedip-kedip.
Tiba-tiba matanya ditutup oleh seorang.

“Teka siapa saya….” ujar suara itu, lelaki. Hati Aina berdebar-debar, lelaki itu betul-betul menganggapnya Lis dan memperlakunya seperti Lis.

“Abang…. sudahlah!” marahnya dan menyentap tangan itu daripada wajahnya.

Pemuda itu ketawa dengan kerenah Aina. “Abang ingat dah berubah jadi gadis ayu tapi rupanya masih macam singa,”
guraunya dan mencuit hidung Aina. “Ingat tak nama bukit tu?” tambahnya lagi.

“Ha… nama?” soal Aina kembali. Dia tidak tahu-menahu mengenai bukit itu.

“Lis dah lupa ke? Ingat tak masa kecik-kecik dulu kita panggil itu bukit ‘gajah’. Sampai hati Lis lupa…”.

“Alah, lupa nama bukit pun jadi masalah,” jawab Aina dan melangkah ke sofa. Dia berharap agar Haris tidak menanyakan soalan yang pelik-pelik lagi.

“Nama abang ingat tak?”soal Haris lagi sambil mengekorinya ke sofa.

Tersirap darah Aina mendengar soalan itu. “Malas nak ingat… nama abang bukannya sedap sangat,” jawab Aina setelah mendapat idea.

“Aik… Haris Indrawan… tak sedap ke?” soal Haris mengerutkan dahinya “Tahu laaa nama awak tu Harlisa Indragiri,” jawabnya mengenakan Aina. Aina diam, takut untuk memberikan sebarang respon kerana tidak ingin terlanjur kata.

“Lis dah berubah sekarang,” ujar Haris dengan serius.

“Ha…”

“Iya. Dulu abang nak masuk bilik ni pun susah, nak berbual jarang sekali boleh, nak bergurau lagilah. Macammana kawan-kawan Lis sekarang?”

“Ah… sihat…ok tapi…”

“Tapi apa?”

“Lis dah tak berkawan dengan mereka.” Sengaja dia memberi jawapan sebegitu semoga tiada lagi soalan mengenai kawan-kawan Harlisa.

“Baguslah, abang tak suka Lis berkawan dengan mereka. Nak-nak lagi Joe. Tumbukannya masih terasa di pipi abang,” jawab Haris sambil mengosok-gosok pipinya. Aina memerhatikan raut wajah itu . Wajah yang sebanding dengan namanya yang sedap didengar.

“Kenapa renung abang macam tu?” Dia berasa kekok dengan renungan sebegitu-Renungan yang boleh mencairkan hati lelaki.

“Ah… saja nak tenung, bukan luak pun..!!!” jawab Aina tersengih.

“Lis dah ada kekasih?” soal Haris lagi.

“Dah,” jawab Aina yang semakin rimas dengan soalan Haris. “Ada soalan lagi?” sambung Aina.

“Dah tak ada soalan tapi……. nampaknya cepatlah papa dapat cucu,” jawab Haris dan bangun daripada sofa.

“Abang…!!!” Marah Aina dan cuba mengejar Haris yang sudah berlari keluar dari biliknya. Kedengaran suara Haris yang ketawakannya.
****
Aina pergi ke kolej dengan hati yang berdebar-debar. Setelah ditetapkan kelasnya, dia melangkah ke kelas itu bersama seorang pensyarah. Aina dijemput duduk oleh seorang gadis di sebelahnya.

“Hai… awak anak Datuk Hamidi, kan?”soal gadis itu dan menghulurkan tangannya.

“Ya,” jawabnya kepelikan dengan soalan itu.

“Saya Zaza. Rasanya sudah lama awak tak kelihatan di bandar ni. Awak ke mana?”

“Ha…. ada. Saya tak ke mana-mana” jawab Aina ringkas, rimas. Dia membuka bukunya dan cuba menumpukan terhadap pelajaran yang diajar.

Semasa melangkah keluar daripada kelas, Aina terdengar namanya dipanggil. Hajat dia ingin berpaling tetapi hatinya menegah daripada berbuat demikian. Fikirnya tiada siapa yang mengenalinya dengan nama Aina. Tiba-tiba bahunya ditepuk dan alangkah terkejutnya melihat Asrol, kawannya sejak kecil.

“Siapa awak?” soal Aina cuba menyembunyikan perasaannya.

“Aina… saya ni. Mustahil kau tak kenal saya,” jawab Asrol cemas.

“Siapa Aina? Saya Harlisa!!!”

“Tipu !!! saya kenal kau Aina. Aina apa dah terjadi pada kau?”

Aina mengatur langkahnya laju dan sampai ke kereta. “Abang…” panggil Aina ke arah Haris yang sedang leka berbual dengan seseorang. Haris berpaling melihat adiknya yang sedang diganggu oleh seorang lelaki.

“Hei…. Kenapa kau kacau adik saya?” soal Haris mengengam penumbuk .Dia dapat melihat jelas lelaki itu memegang bahu Aina.

“Aina….. tunggu. saya Asrol !!!”

“Kau nak penumbuk saya ke. saya kata jangan kacau adik saya!” Marah Haris dan nyaris-nyaris penumbuk mengenai Asrol tetapi tangannya dipegang oleh Aina.

“Sudahlah… jom kita balik,” kata Aina dan menarik Haris ke kereta dan akhirnya mereka meninggalkan tempat itu.

“Lis, abang rasa elok Lis tukar kolej,” ucap Haris.

“Tukar kolej? Kenapa?”

“Iyelah…hari pertama pun dah ada orang kacau.”

“Tak payahlah. Lain kali Lis tahu jaga diri,” pujuk Aina.

“Baiklah. Kalau ada orang kacau Lis lagi bagitau abang !!!”

Aina ke kolej seperti biasa dengan dihantar dan diambil oleh Haris. Mama juga sudah boleh mengerakkan tangan dan sudah boleh duduk di kerusi roda. Hubungan Aina dengan keluarga itu juga semakin rapat dan dia juga sudah lupa bahawa dia adalah anak angkat. Cuma hatinya terusik apabila memandang ke arah Asrol. Pemuda itu tidak menganggunya lagi malah menjelingnya pun tidak walaupun mereka sekelas .

“ Harlisa… boleh tak kita berbual sekejap?” tegur satu suara. Aina berpaling dan melihat Asrol sedang berdiri di belakangnya.

“Iya… berbual? Bo…boleh..” jawab Aina ragu-ragu. Asrol tersenyum dengan jawapan Aina. “Ada apa?”

“Saya nak minta maaf mengenai kejadian hari tu. Saya ingat awak ni…..”

“Aina.”

“Ya. Mana awak tahu?”

“Sebab awak panggil saya ‘Aina’ masa tu,” jawab Aina tersenyum.

“Iya… dia kawan saya. Wajah awak sama dengannya”

“Ooo… dia belajar di sini ke?”

“Tak. Dia menghilangkan dirinya. Hari ni dah masuk 47 hari dia hilang.”

“Tak buat laporan polis?” Aina berpura-pura simpati. Hatinya tersentuh apabila mengingati tempoh kehilangannya.

“Dah tetapi pihak polis tidak menemuinya. Semua orang seolah-olah sudah putus asa tetapi saya akan tetap mencarinya.”

“Eh, abang saya dah datanglah. Saya pergi dulu.”

“Ok…”
****

Aina termenung di sebuah bangku menunggu kedatangan Haris mengambilnya. Kadang-kadang dia rasa kasihan apabila melihat Haris terpaksa bersusah-payah datang dari pejabat mengambilnya dan pergi ke pejabat semula. Haris terlalu baik kepada tetapi kadang-kadang Haris juga menunjukkan sikapnya yang suka mengongkong lebih-lebih apabila Haris menemuinya bersama Asrol. Dia menganggap Haris berbuat begitu kerana ingin menjaganya sebagai adik tetapi entah mengapa hatinya mengatakan Haris berlagak seperti kekasihnya. Walau bagaimanapun apabila difikirkan balik Aina juga menyukai Haris tetapi dia terpaksa melupakan perasaannya kerana tidak mahu mengecewakan Datuk Hamidi.

“Lis… jauhnya termenung!!!” tegur Haris mengejutkanya. “Sorry abang lambat…”

“Tak apa…” Aina terus masuk ke dalam kereta.

“Iye… tak apa sebab boleh borak dengan pakwe, kan?” sindir Haris.

“Apa abang merepek ni? Abang ingat Lis macam tu ke?” Marah Aina serta-merta. Entah mengapa dia tidak dapat mengawal amarahnya pada hari itu.

“Lis… relaks… sayanggg. Jangan macam ni,” terkejut Haris dengan sikap Harlisa. Sepanjang perjalanan itu mereka membisu hinggalah sampai ke rumah.

“ Lis, I’m sorry,” ujar Haris yang masih di dalam kereta.

“Ok tak apa. Tetapi lain kali abang kena ingat Lis adik abang bukan kekasih abang…”

****
Haris menghempaskan fail yang dibacanya. Dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja. Dia cuma teringatkan Harlisa. Sejak tiga hari lalu mereka sudah tidak bertegur-sapa dan Lis juga menjauhkan dirinya.

“… Lis adik abang bukan kekasih abang….”

Dia terlupa bahawa Lis adalah adiknya sedangkan selama ini dia menjaga Lis lebih dari itu. Memang dia cemburu melihat Lis bersama Asrol sejak pertama kali lagi. Entah mengapa dia tidak dapat menahan perasaan itu. Dia rasa gembira bila dapat berbual dan bergurau mesra dengan Lis. Dulu adiknya tidak begitu cuma selepas dia balik dari London, dia mendapati keperibadian gadis itu berbeza. Mungkin Harlisa menerima tamparan yang hebat daripada apa yang terjadi terhadap mama. Wajah Harlisa menjelma lagi, menganggu minda. Haris menumbuk mejanya dengan kuat dan terasa perit di buku tangannya. Dia tidak ingin dikatakan jatuh cinta pada adik sendiri. Lantas dia bingkas bangun dan menuju ke bilik papanya.

“Papa, Haris nak ke London,” ucapnya setelah memberi salam. Datuk Hamidi mengerut dahinya.

“Kenapa. Ada apa masalah?”

“Tak ada. Cuma rasa nak berhijrah ke London.”

“Menetap di sana?”duga si ayah dengan serius sambil memusingkan kerusinya.

Haris angguk.

“Sebab Harlisa?”
Haris geleng.

“Jangan nak tipu . Papa tahu apa yang terbuku dalam hati Haris,” memang dia mengerti apa yang telah terjadi kepada anaknya itu. Pandangan mata sahaja sudah cukup memberitahunya.
“Ampun papa. Haris rasa Haris dah berdosa papa. Haris kena tinggalkan Malaysia, Haris tidak boleh tinggal di sini,” pohon Haris yang melutut di kaki Datuk Hamidi.
“Mari papa ceritakan satu rahsia kepada Haris”
****
“Lis… buatkan abang air,” suruh Haris dan melangkah masuk ke bilik tidurnya kembali. Aina bingkas bangun daripada sofa dan bergegas ke dapur untuk membancuh air.

“Abang… ini airnya,” beritahunya perlahan dan meletakkan air itu. Lelaki itu sibuk mengetuk keyboard komputernya.

“Tunggu kejap,” Haris tetap leka mengadap komputernya.

Aina memerhatikan keadaan bilik Haris. Suasana yang terhias kemas.

“Kenapa. First time ke masuk ke sini?” soalnya.

“Ya,” jawab Aina tanpa berfikir panjang.

“Ooo… dulu-dulu tu siapa yang masuk ke bilik abang. Bukankah Lis juga yang masuk?” perli Haris menghentikan kerjanya dia bingkas bangun mengadap Aina.

“Ada sebarang alasan?” soal Haris mengenyitkan matanya.

“No. Tak ada.”Aina kaget. Mengapa Haris berkelakuan pelik pada malam itu?

Haris merenung mata Aina.

“Kenapa renung Lis macam tu?” soalnya yang malu dengan renungan itu.

“Saja. Bukan luak pun…!!!” ayat yang sama diucapkan oleh Aina

“Abang nak beritahu Lis sesuatu. Dah lama abang nak beritahu perkara ni…”

“Apa dia?”

“Lis ni cantiklah. Ramai kawan abang berlumba nak dapatkan Lis termasuklah Asrol…”

“Abang, apa abang merepek ni?” Aina semakin rimas dengan perlakuan Haris. Mereka semakin rapat.

“Syyyh… diam sayang. Abang tak habis cerita lagi….” Haris menekapkan jari telunjuknya ke bibir Aina.

“Abang pun nak memiliki Lis…” Secepat kilat dia menyambar tangan Aina yang ingin menampar pipinya.

“Relaks… jangan cepat bertindak…. Bayangkan kita dua insan berbeza. Kita bukan adik-beradik. Kita adalah insan yang dijodohkan untuk bersama,” pujuk Haris menombak mata Aina.

“Adakah Aina akan menyintai saya?” soal Haris sengaja menyebut nama Aina. Dia berharap Aina menyedarinya. “Tell me, please,” rayunya lagi. Dia merapatkan bibirnya ke arah bibir Aina dan sepantas kilat Aina menolaknya. Gadis itu berlari menuju ke pintu.

“Tunggu dulu Aina Sabrina.”

Langkah Aina terhenti. Dia terpampan.

“Saya cintakan Aina Sabrina dan bukannya arwah Harlisa. Salahkah saya?” Haris menarik Aina mengadapnya.

“Wrong person…!!!” jawab Aina dan berlari keluar dari bilik itu.

****
Aina terkejut besar mendengar berita yang baru diterimanya. Zaza menelefonnya menceritakan tentang kematian Asrol. Pemuda itu kemalangan jalan raya. Airmatanya mengalir laju dan dia segera berlari ke bilik Haris, membenamkan mukanya ke dada lelaki itu. Dia menangis teresak-esak di dalam pelukan Haris. “Asrol sudah tiada” ucapnya tanpa ditanya.

Alangkah luluhnya hati Haris mendengar ucapan itu. Ternyata kasih Aina telah tertumpah pada Asrol. Haris mengemaskan pakaiannya setelah Aina berlalu dari biliknya. Dia tekad untuk tinggalkan Malaysia. Dia terpaksa. Sebelum berangkat dia sempat menjenguk Aina yang tertidur di sofa. Gadis itu kesedihan. Pak Mat menghantarnya ke airport dan meninggalkannya di sana seorang diri Penerbangannya lebih kurang 2 jam lagi dan dia merasakan lambatnya waktu itu. Dia sudah tidak tahan berada di Malaysia. Wajah Aina datang bersilih-ganti. Tiba-tiba bahunya ditepuk.

“Hendak ke mana?” soal seorang gadis.

“London,” jawabnya tanpa berpaling ke arah suara itu.

“Mencari Aina Sabrina?” duga suara itu.
Haris tersentak. Dia berpaling. Gadis itu mengenyitkan matanya.

“Aina…!!!” Dia bagaikan terlompat dari kerusinya. Aina juga bangun mengadapnya.

“Aina Sabrina juga ada di London jika Haris ke sana kerana Aina Sabrina berada dalam hati Haris,” tambah Aina.

“Aina…abanggg..”

“Syyyh…” ucap Aina dan menutup bibir merah Haris.

“Aina dah kehilangan sebuah persahabatan dan Aina tak ingin cinta ini juga hilang… Aina cintakan Haris.”

“Aina…. terima kasih sayang,” jawab Haris dan mencium tangan Aina. Dia berjaya.

 

 

 

 

 

 

Selamat Hari Ibu

Emel dari kawan2……
******************

Ibuku Seorang Pembohong ???

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya

8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.” PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki.” PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.kota

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang.” PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.sana

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu.’ Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…


Nota kaki:

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu
Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! “
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang paling sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu
Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila.. . aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku
Renungkan – Dulu Ibu kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan berkerja… bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah”. Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu sudah tiada. ingatlah pengorbanan ibuuuuu….

I LUV U MUM..NAK BALIK KG huhuhu… Xsabarnyer..

 

 

 

One Response to “NOVEL / CERPEN”

  1. zawir said

    semoga menjadi penulis yang berjaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: